Demografi di Malaysia telah mengalami evolusi sejak dari zaman dahulu sehinggalah sekarang. Perkembangan dan pertumbuhan penduduk di Malaysia berlaku sejak tahun 1850an lagi. Sebelum itu, pihak British telah terlebih dahulu memulakan kajian tentang ciri-ciri perkembangan penduduk dari segi saiz, kepadatan, taburan, kelahiran dan kematian di Tanah Melayu. Pada peringkat awal, pihak British telah melaksanakan bancian ke atas negeri-negeri Selat iaitu Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Bancian ini telah dilaksanakan pada tahun 1840. Seterusnya bancian diperluaskan pula ke negeri-negeri Melayu bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dan seterusnya ke Sabah. Bermula pada tahun 1911, bancian penduduk mula dilaksanakan di Tanah Melayu setiap 10 tahun dan diperluas ke Sarawak sehingga akhirnya Jabatan Perangkaan diberi mandat untuk melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan di Malaysia.
Berdasarkan data bancian, pertumbuhan penduduk meningkat dengan kadar lebih perlahan pada tahun 2020 berbanding 3.6 peratus pada tahun 1970. Hal ini berlaku disebabkan oleh empat faktor yang telah dikenal pasti iaitu kadar kesuburan, jangka hayat, struktur umur iaitu agihan antara umur muda dan umur tua serta migrasi. Bukan hanya di Malaysia, bahkan dunia juga telah menunjukkan kadar pertumbuhan penduduk yang semakin perlahan bagi kanak-kanak dan belia. Dalam masa yang sama, penduduk yang berumur 65 tahun ke atas didapati semakin meningkat. Trend umur muda yang semakin menurun dan peningkatan umur tua yang semakin ketara menjejaskan bilangan dan tanggungan untuk umur bekerja pada masa hadapan. Hal ini turut memberi kesan kepada isu-isu lain di dalam negara.
Bagi menangani perubahan demografi yang sedang berlaku di Malaysia, pelbagai langkah perlu diambil untuk merealisasikan demografi yang lebih berdaya tahan. Antaranya ialah dengan melaksanakan program pemerkasaan wanita dalam sektor pekerjaan. Pada masa dahulu wanita begitu sinonim dengan rutin sebagai suri rumah, manakala kaum lelaki pula lebih ramai yang keluar bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Namun persepsi ini haruslah disingkirkan pada zaman yang semakin mencabar ini. Kaum wanita terutamanya suri rumah perlu keluar daripada kepompong kebiasaan ini untuk memajukan diri, membangunkan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup keluarga. Oleh yang demikian, pihak kerajaan haruslah menyediakan segala ruang dan peluang bagi membantu wanita untuk turut serta dalam kelompok mereka yang bekerjaya. Selain itu, pemerkasaan wanita juga penting untuk menjamin penyertaan wanita dalam peringkat membuat keputusan baik di sektor kerajaan mahupun swasta.
Tidak dinafikan, perubahan demografi yang berlaku ini secara tidak langsung turut berkait dengan prasarana, kemudahan kesihatan dan kewangan. Hal ini memandangkan peningkatan penduduk umur tua yang memerlukan perancangan rapi serta penjagaan khusus. Oleh yang demikian, satu pelan pembangunan yang meliputi perancangan terhadap golongan tua haruslah dirangka. Pelan ini berupaya untuk membantu golongan tua dari segi prasarana yang diperlukan oleh mereka, kemudahan kesihatan serta simpanan hari tua. Selain itu, mereka juga perlu didedahkan dengan persekitaran yang sihat dan bermanfaat. Sebagai contoh, golongan tua yang masih lagi mempunyai tahap kesihatan yang baik serta pesara kerajaan dan swasta yang masih aktif. Mereka perlu diberi ruang untuk berada dalam komuniti dan persekitaran yang membenarkan idea, pandangan serta pengalaman mereka dikongsi bersama. Selain itu, sumbangan mereka terhadap komuniti dan masyarakat perlulah diberi imbuhan dan penghargaan. Melalui cara ini, demografi yang berdaya tahan dapat direalisasikan dengan jayanya.
Bagi menangani perubahan demografi yang berlaku ini juga, penekanan terhadap gaya hidup dan tahap kesihatan penduduk haruslah diambil kira. Gaya hidup dan tahap kesihatan penduduk pada hari ini haruslah dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh mana kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap hal yang berkaitan. Hal ini kerana, gaya hidup memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan seseorang. Contohnya, seorang individu yang gemar bersosial dan tidak menitik beratkan pemakanan yang seimbang serta kesihatan yang baik. Individu tersebut lebih berisiko untuk terdedah kepada penyakit-penyakit tertentu. Oleh yang demikian, kesedaran yang tinggi terhadap gaya hidup dan tahap kesihatan yang baik haruslah diletakkan di tempat yang paling utama. Apabila seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat, maka akan lahirlah penduduk Malaysia yang lebih berdaya tahan dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial. Hal ini seterusnya dapat membantu mengurangkan aliran keluar wang yang banyak bagi tujuan rawatan untuk penyakit kronik dan penyakit-penyakit lain.
Kesimpulannya, perubahan demografi di Malaysia bukanlah ancaman yang besar bagi negara kerana pelbagai langkah boleh diambil bagi mengatasinya. Hal ini, bukan sahaja membantu membangunkan negara, bahkan boleh merealisasikan demografi yang berdaya tahan menjelang dunia 8 bilion seperti yang telah diwar-warkan sebelum ini.
Rujukan:
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022). Kenyataan Media Sempena Hari Penduduk Sedunia 2022. Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia.
Marlini Sahul Hamid. (2020). Newsletter: Evolusi Penduduk di Malaysia. Department Of Statistics Malaysia Official Report.
Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Azila Darman, Sekolah Kebangsaan Getang, Terengganu