Malaysia Population Research Hub

Mendepani Cabaran Demografi Negara Tua

Tidak disangkal lagi keunikan demografi Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan keturunan telah memberikan nilai tambah pada Malaysia. Namun begitu, di sebalik keunikan ini, Malaysia turut berdepan dengan cabaran dalam mendepani status ‘negara tua’. Dijangkakan, Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berusia 60 tahun dan ke atas, berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia. Malah, berkemungkinan negara akan beralih status pada negara tua pada kadar lebih awal berikutan penurunan nisbah Kadar Kelahiran Kasar (CBR) dan Kadar Kematian Kasar (CDR) yang memberi impak pada struktur penduduk Malaysia.

Carta 1: Kelahiran hidup dan Kadar Kelahiran Kasar, Malaysia, 2010-2020

Carta 2: Kematian dan Kadar Kematian Kasar, Malaysia, 2010-2020 (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia)

Tambahan, mengikut anggaran World Bank, negara bakal mencapai status ‘super-aged society’ yang mana 20 peratus daripada populasi rakyat Malaysia akan berumur 65 tahun ke atas pada tahun 2056. Hal ini mewujudkan cabaran yang getir buat Malaysia terutamanya dalam sektor pekerjaan, sekuriti pendapatan dan kesihatan awam.

Malaysia akan kekurangan tenaga pekerja mahir kesan daripada pertumbuhan perlahan penduduk. Peningkatan umur persaraan dijangka dapat membantu mengatasi masalah ini. Namun, ia akan datang dengan masalah yang lain. Peningkatan umur persaraan bagi pekerja yang berusia akan memberi cabaran bagi mereka untuk menyesuaikan diri dengan teknologi yang sentiasa berkembang. Pihak majikan pula berdepan dengan cabaran dari aspek keselamatan dan prestasi dalam kalangan pekerja yang telah berusia.

Sekuriti pendapatan bagi golongan yang berusia ini juga akan mengalami masalah akibat kesan peningkatan inflasi dan kos sara hidup. Menurut kajian yang dilakukan oleh World Bank, hampir 75 peratus ahli KWSP mempunyai wang caruman kurang daripada RM250,000 pada umur 54 tahun. Menurut perkiraan kasar, kadar ini merangkumi kira-kira RM1,050 pendapatan bulanan, iaitu kurang daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan. Hal ini pastinya akan memberikan kesan negatif pada kehidupan golongan ini setelah bersara jika tiada langkah drastik yang dilakukan bagi mengatasi masalah ini.

Selain itu, terdapat keperluan meruncing untuk meringankan kesan negara menua pada sektor kesihatan awam. Peningkatan warga tua akan meningkatkan kos kesihatan kerana penyakit kronik yang dihidapi mereka. Malah, ketidakmampuan individu untuk berdikari kesan daripada masalah ini akan turut membebankan penjaga.

Bagi menangani perubahan demografi penduduk Malaysia ke arah negara tua, semua pihak harus memainkan peranan. Pihak kerajaan dan juga majikan perlu bergerak ke arah memastikan pekerjaan yang fleksibel, produktif dan inklusif. Hal ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pekerja mahir kesan daripada perubahan demografi. Pembelajaran sepanjang hayat dan latihan berterusan pada pekerja berusia harus diberikan bagi mendepani cabaran pekerjaan di era ini. Kerajaan juga perlu mengeluarkan polisi agar majikan memberikan kemudahan kepada warga yang berusia untuk kembali bekerja sama ada secara sambilan atau tetap dengan waktu kerja yang fleksibel. Umur persaraan minimum juga perlu dikaji secara menyeluruh berpandukan kadar jangka hayat dan spesifik pada sektor pekerjaan.

Sekuriti pendapatan bagi warga berusia dapat diatasi dengan meluaskan caruman KWSP pada mereka yang bekerja sendiri dan dalam sektor pekerjaan yang tidak formal. Malah, sebelum lesen perniagaan diluluskan, perlu diwajibkan agar semua pekerja berdaftar dengan KWSP. Selain daripada itu, bantuan sara hidup secara bulanan boleh diberikan secara bersasar pada golongan rentan. Insentif bagi majikan untuk menggaji pekerja berusia yang ingin kembali bekerja juga boleh dijadikan satu inisiatif.

Sektor kesihatan awam di Malaysia perlu ditransformasi agar turut merangkumi penjagaan geriatrik. Rehabilitasi daripada penyakit akut seperti strok perlu ditambahbaik di fasiliti-fasiliti kerajaan agar mereka yang terkesan dapat kembali berdikari seperti sebelum ini. Malah, warga emas turut berisiko untuk mengalami gejala demensia iaitu kemerosotan keupayaan untuk mengingat dan berfikir yang boleh mengakibatkan ketidakupayaan untuk mengurus diri. Inisiatif daripada kerajaan kepada penjaga patut diwujudkan melalui elaun sokongan warga tua dan rebat cukai pendapatan. Kumpulan sokongan bagi penjaga warga tua juga perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah lesu upaya (burnout) dalam kalangan mereka. Pusat penjagaan warga tua dan penjaga perlu diselaraskan dengan akta bagi melindungi warga tua dan juga mereka yang terlibat dalam sektor ini. Selain daripada itu, kerajaan juga harus menggiatkan komunikasi berkesan supaya masyarakat Malaysia berusaha ke arah gaya hidup sihat serta mewujudkan persekitaran dan komuniti yang mengutamakan kesihatan.

Kesimpulannya, langkah drastik dan berkesan perlu dilaksanakan agar Malaysia dapat menangani perubahan demografi ke arah negara tua yang semakin hampir ini. Semua pihak harus memainkan peranan dan berganding bahu menyokong polisi yang memberi manfaat pada masyarakat.

Rujukan:

Abdul Rahim A. H., Muhamad, N., Zakaria, R., Aminuddin, E., Akmal Alwee, A., & Tok, A. (2018). The Challenges of The Ageing Population on The Malaysian Construction Industry. Journal of Physics: Conference Series, 1049, 012034. doi:10.1088/1742-6596/1049/1/012034

Adnan A. F. (2021, Oktober 14). Malaysia dijangka beralih negara tua lebih awal. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/berita/2021/10/malaysia-dijangka-beralih-negara-tua-lebih-awal/

Jabatan Perangkaan Malaysia (2015). Ageing in Malaysia and Challenge for Economic Growth https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/7_Publication/Technical_Paper/Kolokium_Statistik/2015/1.%20 Ageing%20in%20Malaysia%20and%20Challenge%20for%20Economic%20Growth.pdf

Mafauzy, M. (2000). The Problems and Challenges of The Aging Population of Malaysia. Malays J Med Sci, 7(1), 1-3.

Mahidin M. U. (2021). Perangkaan Penting, Malaysia, 2021. Jabatan Perangkaan Malaysia. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=Mm04eWh2M1pqOVlWRW1kbStuS3BlUT09

Md Nor, N. N. F. (2019). Demographic Issues in Malaysia. Asian Social Science, 15, 116. doi:10.5539/ass.v15n11p116

Schmillen, A. D., Wang, D., Yap, W. A., Bandaogo, M. A. S. S., Simler K., Ali, Z., Abdur Rahman, A. (2020). A Silver Lining – Productive and Inclusive Aging for Malaysia (English). The Malaysia Development Experience Series Washington, D.C.: World Bank Group. https://documents.worldbank.org/curated/en/287981606116408851/A-Silver-Lining-Productive-and-Inclusive-Aging-for-Malaysia

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Nurfaizatul Aisyah Ab AzizUniversiti Sains Malaysia (USM)