Malaysia Population Research Hub

Perubahan Demografi di Malaysia: Apakah Peranan Kita Terhadapnya?

Adakah minda anda pernah terfikir bagaimana sesebuah negara yang maju itu akan menjadi negara tua?. Secara hakikatnya, Malaysia sememangnya akan menuju kearah negara tua pada tahun 2030, perkara ini berlaku sejajar dengan perubahan demografi yang berlaku di dalam negara. Sebelum kita menyelami dengan lebih jauh, demografi di Malaysia bermaksud kajian tentang ciri-ciri perkembangan penduduk Malaysia dari segi saiz penduduk, kepadatan, taburan, kadar kelahiran dan kematian dalam suatu tempoh tertentu. Perubahan demografi di Malaysia telah mendatangkan implikasi yang baik dan buruk. Oleh itu, kewujudan demografi berdaya tahan yang mampu untuk mengatasi dan pulih daripada perubahan yang berlaku dalam struktur demografi merupakan wadah yang penting bagi negara.

Pengurangan kadar fertiliti, peningkatan penuaan penduduk, dan pemerkasaan wanita antara perubahan-perubahan demografi yang berlaku. Pada tahun 2020, kadar kesuburan bagi umur reproduktif di Malaysia ialah 1.7 anak berbanding 1.8 anak pada tahun 2019. Walaupun data ini sama seperti United Kingdom dan Amerika syarikat, tetapi tidak bermaksud Malaysia mampu untuk terus maju seperti negara-negara tersebut jika tiada sebarang usaha untuk membaikinya. Faktor utama penurunan kesuburan negara ialah gaya hidup wanita itu sendiri. Menurut Ketua Perangkawan Negara, kaum hawa telah menerima kesan evolusi pembandaran yang menyebabkan mereka menerima perubahan dalam umur perkahwinan pertama, perancangan keluarga dan status ekonomi mereka dimana mereka lebih bergiat dalam tenaga buruh dan sektor pendidikan. Namun, kita mesti fokus pada penyelesaian kepada masalah tersebut dengan menyeimbangkan antara keluarga dan pekerjaan. Majikan perlu memberi fleksibiliti kepada para pekerja untuk bekerja di rumah bagi perempuan dan juga lelaki agar mereka dapat meluangkan lebih masa bersama untuk menjaga keluarga mereka agar keluarga dapat berkembang dengan sempurna.

Penurunan fertiliti negara memberi impak kepada peningkatan kadar penuaan penduduk apabila terdapat peningkatan jangka hayat penduduk. Di Malaysia, peratusan penduduk berumur 60 tahun ke atas akan meningkat kepada 15.3% menjelang tahun 2030 sekaligus menjadikan negara kita berstatus ‘negara tua’. Istilah ini adalah sesuai digunakan apabila penduduk orang tua melebihi 15% daripada keseluruhan penduduk. Peristiwa ini mampu memberi impak negatif dalam aspek ekonomi dan sosial. Dari segi sosial, akan terdapat jurang antara generasi yang ketara menyebabkan ketidakserasian antara golongan tua dan muda akibat tidak mampu memahami kehendak dan naluri masing-masing. Selain itu, terdapat pengurangan bilangan tenaga pekerja yang mampu memberi pulangan yang besar kepada negara. Faktor-faktor ini mampu menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara, justeru hal ini dapat diatasi dengan menggalakkan pekerja berumur ini kekal lebih lama di dalam sektor pekerjaan masing-masing tetapi mereka dapat memilih untuk bekerja sedikit jam dan bekerja lebih lama. Golongan yang berpengalaman penuh dalam bidang mereka ini dapat menjadi mentor kepada rakan sekerja yang lebih muda dan membantu mereka dengan memberi pendapat dan teguran kepada mereka. Cara ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti pekerja-pekerja muda untuk terus memajukan ekonomi tetapi juga dua golongan ini dapat bekerjasama menyelesaikan masalah bersama-sama dan mengurangkan perselisihan antara satu sama lain. Selepas itu, golongan tua ini akan dapat menikmati kehidupan tua yang aktif dan sihat. 

Selepas itu, isu yang paling hangat di arena dunia pada masa kini ialah kesaksamaan gender. Berdasarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pada tahun 2020, sebanyak 55.3% merupakan kadar penyertaan tenaga buruh wanita  dan penguasaan wanita di dalam politik mencatatkan skor 0.100 yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam pekerjaan dan politik. Cuba anda bayangkan, sebanyak 48.5% daripada keseluruhan rakyat ialah wanita. Sekiranya mereka memainkan peranan mereka sepenuhnya, Malaysia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi, politik, budaya dan sosial dengan lebih berkesan. Pemerkasaan wanita itu bermulanya daripada keluarga. Semua ahli keluarga haruslah mengagihkan kerja rumah sesama ahli keluarga bukan kepada golongan wanita sahaja. Kemudian di tempat kerja, wanita haruslah diberikan peluang agar mereka dapat menunjukkan bakat dan kemahiran mereka. Perkara ini bukan bermakna golongan lelaki perlu menjatuhkan kemaskulinan diri tetapi memberi wanita hak yang sama di dalam dunia yang sama dengan kaum lelaki.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memilih tema yang sangat cerdas bagi Hari Penduduk Sedunia iaitu ‘Dunia 8 billion: ke arah masa depan berdaya tahan memanfaatkan peluang dan memastikan hak dan pilihan untuk semua’. Melalui tema inilah yang mampu menelurkan pemikiran dan ideologi kepada masyarakat bahawa betapa pentingnya mewujudkan demografi yang berdaya tahan. Untuk membincangkan masalah dan penyelesaian bagi demografi berdaya tahan ini tidak akan cukup walaupun seribu helai naskah, apa yang kita perlu ketengahkan ialah seberapa banyak usaha kerajaan untuk mewujudkan demografi tidak akan berjaya sehinggalah semua pihak tidak kira beza kaum, bangsa dan agama bersama-sama menggembleng tenaga untuk melaksanakannya dengan jayanya. Sedang kita sibuk memajukan diri sendiri, kita tidak seharusnya mengabaikan hak orang lain dalam kemajuan mereka kerana semua manusia mempunyai hak yang sama dalam kemajuan diri masing-masing. Marilah kita bersama-sama membantu kerajaan untuk mewujudkan sebuah demografi daya tahan di Malaysia bagi menikmati negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju yang lain.

Rujukan:

Nisha, E. (2020). Fertiliti dan mortaliti: Peralihan demografi Malaysia [PDF file]. Available from www.dosm.gov.my

Ke arah penduduk malaysia berdaya tahan, memanfaatkan peluang dan memastikan hak serta pilihan untuk semua. (2022, 11 Julai). [PDF file]. Available from www.dosm.gov.my

Tiada peningkatan kelahiran hidup pada suku tahun pertama 2021, penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) terus meningkat. (2021, 27 Mei). [PDF file]. Available from www.dosm.gov.my

Mahpul, I. N., Ismail N. (2017, 22 November). Kesan perubahan demografi terhadap institusi keluarga. [PDF file]. Available from www.lppkn.gov.my

Tema sambutan hari wanita 2022: “saksama bersama”. (2022, 19 Februari). [PDF file]. Available from www.kpwkm.gov.my

Hegarty, S. (2021, 16 Mei). How do you convince people to have babies? [Blog post]. Retrieved from https://www.bbc.com/news/world-57112631

Kamus Dewan Edisi Keempat (2006). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Muhammad Faqih ‘Aqlan bin Fuaad, Universiti Malaya (UM)