Malaysia Population Research Hub

Hari Penduduk Sedunia 2022

Dunia 8 Bilion: Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan Memanfaatkan Peluang Dan Memastikan Hak Dan Pilihan Untuk Semua

Dunia 8 Bilion: Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan –Memanfaatkan Peluang dan Memastikan Hak dan Pilihan untuk Semua’ (A World of 8 Billion: Towards a Resilient Future– Harnessing Opportunities and Ensuring Rights and Choices for All) merupakan tema antarabangsa bagi sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022, hari ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) sependapat bahawa sambutan hari penduduk ini wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu dan cabaran kependudukan di Malaysia.

Penduduk dunia dijangka akan mencecah angka 8 billion pada November tahun ini. Pencapaian menakjubkan ini merupakan detik bersejarah. Dunia pada hari ini telah berjaya dalam mengurangkan jumlah kemiskinan dan mencapai kemajuan luar biasa dalam penjagaan kesihatan. Di Malaysia, kadar mortaliti bayi dan kadar mortaliti ibu telah menurun dengan mendadak. Kadar jangka hayat penduduk pula meningkat dengan lebih ramai penduduk hidup lebih lama dan lebih sihat.

Malaysia mempunyai 32.4 juta penduduk pada tahun 2020, meningkat berbanding 27.5 juta pada 2010. Walaupun meningkat, negara mencatatkan purata pertumbuhan penduduk tahunan yang perlahan pada kadar 1.7 peratus bagi tempoh 2010-2020, lebih rendah berbanding 2.1 peratus bagi tempoh 2000-2010. Dengan jumlah penduduk negara dan dunia yang kian bertambah, terdapat kebimbangan bahawa dunia akan berada di ambang bencana pasca pandemik COVID-19 apabila sumber dan sekuriti makanan dunia kian terancam, perubahan iklim yang mengakibatkan bencana alam, krisis kebuluran dan pelarian akibat konflik perang serta krisis ekonomi dan hiper inflasi yang semakin menjadi kenyataan. Perubahan demografi dan krisis senario global ini menuntut Malaysia untuk mengambil langkah dan respons holistik yang efektif dalam membina ketahanan demografi.

Ketika ini, Malaysia memiliki potensi yang terpenting untuk dimanfaatkan dalam memacu kemajuan negara. Merujuk Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, struktur umur penduduk negara ketika ini mencatatkan peningkatan dalam kumpulan umur ‘penduduk bekerja’ 15-64 tahun dengan 69.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 67.3 peratus pada 2010. Penemuan awal Banci 2020 tersebut juga menyaksikan nisbah tanggungan jumlah telah menurun daripada 48.5 pada 2010 kepada 44.3 pada 2020. Peningkatan penduduk kumpulan umur ‘aktif ekonomi’ ditambah dengan penurunan nisbah tanggungan ini sekaligus menawarkan dividen demografi kepada negara yang perlu dioptimumkan segera. Kerajaan harus mengambil peluang terbaik ini ke arah mewujudkan demografi berdaya tahan (Demographic Resilience) dengan meningkatkan pendapatan per kapita penduduk melalui penawaran peluang pekerjaan bercirikan pemadanan yang cekap dan sistem sokongan pasaran buruh yang komprehensif. Hanya pelaburan ke atas sumber tenaga kerja yang banyak ketika ini termasuklah golongan belia akan mampu menghasilkan generasi berpendapatan tinggi yang seterusnya akan memiliki aset dan simpanan mencukupi sebagai dana persaraan di hari tua.

Ini kerana Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030, iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduknya berumur 60 tahun dan ke atas. Pelaburan ke atas pasaran tenaga buruh pada hari ini akan menjamin pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang apabila semua individu ketika itu memiliki kebebasan kewangan apabila sudah tua dan bersara. Jika sebaliknya, peningkatan populasi warga emas ini akan menjadi faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan awam negara apabila warga emas yang tidak memiliki simpanan terpaksa bergantung kepada Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur dan sokongan penjagaan kesihatan.

Pembangunan mapan dan inklusif sentiasa menjadi prinsip utama dalam perancangan pembangunan negara. Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, inisiatif seperti bandar mesra warga emas dan komuniti mesra penuaan perlu diperluaskan pada masa akan datang. Di samping itu, usaha memperkasakan gender dalam pembangunan perlu diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan. Penyediaan akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan perlu turut dipertingkatkan. Usaha ini diharap akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja.

Sejak tiga dekad lalu, isu penurunan kadar kesuburan menjadi satu isu global terutamanya dalam kalangan negara maju dan membangun. Dalam keadaan Malaysia rancak melangkah ke hadapan menuju status negara maju berpendapatan tinggi, kejatuhan berterusan kadar kesuburan adalah satu cabaran bagi negara. Bagi menjayakan Gagasan Keluarga Malaysia, adalah tepat masanya dasar-dasar yang mesra keluarga diperkenalkan. Dengan memfokuskan keseimbangan kerjaya dan keluarga, pelbagai aspek harus dilihat semula seperi penyediaan akses penjagaan kanak-kanak berkualiti tinggi secara meluas, sokongan perkembangan pendidikan awal kanak-kanak yang mampu dan berpatutan, dasar bekerja dari rumah dan waktu bekerja anjal, serta menambah baik kemudahan cuti materniti dan paterniti bagi ibu bapa. Sebagai contoh, dasar keluarga di negara Nordic menitikberatkan penglibatan aktif bapa dalam penjagaan anak dan keluarga supaya bukan hanya wanita sahaja yang terbeban dengan konflik keluarga dan kerjaya. Berdasarkan pengalaman negara maju seperti di Sweden, Perancis, Belgium dan Luxemborg yang melaksanakan “dasar keluarga” seperti ini, ia telah membuktikan bahawa kejatuhan fertiliti secara tidak langsung boleh dibendung dan pada sama masa dapat mengekalkan kesejahteraan keluarga, menghasilkan penduduk yang berkualiti serta meningkatkan produktiviti kerja.

Bersempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memberi kesedaran mengenai isu kependudukan di Malaysia. Antaranya adalah Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan bertemakan “Demografi Berdaya Tahan: Menangani Perubahan Demografi di Malaysia” dan Webinar Hari Penduduk Sedunia dengan tema “Dunia 8 billion: Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan, Memanfaatkan Peluang dan Memastikan Hak dan Pilihan untuk Semua” . Pada tahun ini juga, LPPKN sekali lagi akan menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22) yang akan berlangsung secara fizikal di Hotel Bangi Resort pada 10-11 November 2022 dengan tema “Pemerkasaan Penduduk dan Keluarga, Teras Negara Maju”.

Download: Infografik Hari Penduduk Sedunia 2022

Recent Posts