Malaysia Population Research Hub

Malaysia Ke Arah Kelestarian Demografi Berdaya Tahan

Sejajar dengan falsafah kemajuan negara Malaysia yang berfokuskan kepada pembangunan manusia yang selari dengan revolusi sains dan teknologi, penekanan kepada pengisian dan pemantapan nilai telah dititikberatkan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara holistik. Ini menunjukkan bahawa untuk membentuk demografi yang berdaya tahan, pembangunan sosial dalam proses modenisasi tidak boleh dipandang enteng. Proses pembangunan manusia secara intrinsik dan ekstrinsik wajar dijadikan sebagai asas agar proses revolusi industri tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Daya tahan secara amnya merangkumi kebolehupayaan individu untuk berhadapan dengan setiap cabaran atau kesukaran, serta tahap kelenturan psikologikal sepanjang proses perubahan sejagat.

Menelusuri 65 tahun kemerdekaan Malaysia, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi senantiasa berhadapan cabaran. Cerminan kejayaan negara adalah peningkatan jangka hayat penduduk Malaysia yang telah mengubah demografi hasil daripada pengurusan sistem kesihatan negara yang efisien. Namun begitu, perubahan demografi memberi dua impak yang berbeza kepada negara iaitu tenaga kerja yang lebih produktif dan peningkatan penuaan penduduk. Fenomena peningkatan jangka hayat turut menyaksikan pertambahan bilangan warga emas sehingga mencapai 10.7% kini. Tambahan itu, laporan penduduk Malaysia bagi tahun 2020 turut menunjukkan pertumbuhan golongan muda yang perlahan akibat penurunan kadar kelahiran. Hatta, negara Malaysia secara langsung dikategorikan sebagai negara tua lebih awal daripada jangkaan pakar demografi.

Perubahan demografi bukan sahaja memperlihatkan impak yang signifikan ke atas perkembangan psikologi warga tua, bahkan ia turut mempengaruhi perkembangan psikologi orang muda. Tekanan yang tinggi khususnya dalam kalangan generasi sandwic yang rata-rata merupakan penggerak pertumbuhan ekonomi negara, telah membawa kepada pelbagai isu kesejahteraan emosi dan mental. Antara cabaran yang memerlukan daya tahan yang tinggi adalah melibatkan penjagaan warga emas di samping anak sendiri. Faktor seperti kos penjagaan yang tinggi serta bebanan sosial, psikologikal, dan fizikal sebagai penjaga utama secara langsung merencat proses pembangunan masyarakat yang berdaya tahan.

Sejajar dengan perubahan demografi, perancangan masa hadapan negara mestilah berada pada landasan yang betul dengan beriltizam Malaysia membangun secara mapan seiring dengan pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif untuk semua melalui pengenalan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Rentetan itu, perubahan demografi penduduk yang berdaya tahan turut didukung oleh beberapa dasar negara seperti Dasar Warga Emas, Dasar Keluarga Negara, Dasar Kesihatan Mental Negara, Dasar Kaunseling Negara, dan Dasar Sosial Negara. Langkah awal perancangan adalah perlu bagi mengelakkan polimek perubahan demografi yang boleh menjejaskan sistem ekonomi dan sosial negara. Malaysia pernah memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur pada akhir tahun 1981. Dasar tersebut menjadi acuan Malaysia membentuk ekonomi yang mapan seperti Jepun dan Korea Selatan. Namun begitu, aspek demografi mereka boleh menjadi pengajaran kepada negara. Jepun yang kini berdepan dengan isu kos kebajikan, produktiviti pekerja, pengurangan kumpulan pembayar cukai dan peningkatan kos kesihatan akibat penuaan penduduknya.

Hakikatnya, cabaran berganda dihadapi oleh negara ketika krisis kesihatan dunia akibat pandemik COVID-19 dan krisis sekuriti makanan sejak awal 2020 memberi cabaran besar kepada penduduk Malaysia. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam laporan ‘Belanjawanku’ pada akhir tahun 2019 memaparkan dua daripada tiga pencarum berusia 54 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Kemudahan pengeluaran ketika krisis pandemik seperti i-Lestari, i-Citra, Pengeluaran Khas 1.0 dan 2.0 memberi kesan kejatuhan ketara dalam peratusan simpanan ahli. Jurang pengelasan pendapatan yang semakin melebar dengan wujudnya istilah baharu B60 dan M20 yang memaparkan pendapatan semakin mengecil merupakan cabaran baharu kepada penduduk Malaysia masa akan datang. Struktur polisi yang telah dicakna dengan murni dan pelaksanaan telah dijalankan, tergugat ketika krisis kesihatan dunia. Perubahan demografi Malaysia yang berdaya tahan akan terus dalam iltizam negara melalui beberapa bantuan subsidi yang bersasar dengan harapan tidak tersasar akan terus menjadi persoalan dan perdebatan umum.

Secara kesimpulan, adalah penting untuk semua pihak memainkan peranan yang penting bagi meletakkan sesuatu perkara dalam perspektif. Ketelusan dalam setiap dasar dan peningkatan kecekapan tadbir urus program secara inklusif amat signifikan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan kepada masyarakat. Seyogia kita sebagai rakyat yang lahir di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, kesepaduan sosial dan perpaduan nasional merupakan mangkin kepada proses pembentukan demografi berdaya tahan di negara tercinta ini. Selamat Hari Penduduk Sedunia 2022!

Rujukan:

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (2019). Ringkasan: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Khazanah Research Institute (2021). “Building Resilience: Towards Inclusive Social Protection in Malaysia”. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute.

Noor, S., & Md Isa, F. (2020). Malaysian Sandwich Generation Issues and Challenges in Elderly Parents Care. International and Multidisciplinary Journal of Social Sciences, 9(3), 289–312.

Social Wellbeing Research Centre (SWRC) (2021). Belanjawanku 2021: Expenditure Guide for Malaysians. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Dr. Chan Siaw Leng & Dr. Shairil Izwan bin Taasim, Universiti Putra Malaysia (UPM)