Malaysia Population Research Hub

Kesihatan Reproductive dan Perancangan Keluarga di Malaysia: Kepentingan, Cabaran dan Hala Tuju dalam Menghadapi Pandemik COVID-19

Secara umumnya, kesihatan reproduktif bermaksud suatu keadaan dimana seseorang individu baik lelaki mahupun perempuan, adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial, serta terhindar dari segala penyakit khususnyayang berkaitan dengan sistem reproduktif. Konsep kesihatan reproduktif ini juga bermaksud seseorang individu itu berhak untuk memilih sebarang kaedah ataucara amalan seksual yang selamat dan memuaskan, tanpa meragui kemampuan terhadap sistem reproduktif dirinya (UN, 1995). Selain menghindari stigma berkaitan jangkitan kelamin, konsep dan pemahaman mengenai kesihatan reproduktif dianggap penting bagi menjamin kesihatan seksual induvidu, iaitu antara faktor utama dalam mencapai tahap kesihatan reproduktif yang baik. 

Pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif, termasuk lelaki dan perempuan sememangnya perlu dititikberatkan. Bagi lelaki, tahap kesihatan reproduktif yang baik mampu mengelak sebarang kegagalan dalam sistem reproduksi termasuk kegagalan untuk mendapatkan ereksi (disfungsi ereksi), ejakulasi pramatang dan juga masalah anatomi zakar(Ahmad Wazir Aiman & T.P. Yung, 2021). Bagi wanita pula, kesihatan reproduktif melibatkan cara penjagaan alat kelamin selain kawalan terhadap tabiat seksual diri. Kesedaran berkaitan perkara ini khususnya di kalangan wanita berkahwin amat perlu supaya mereka sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu yang baik selain mengelak penindasan terhadap hak kesihatan reproduktif dan mengamalkan seksualiti yang selamat dan tidak membahayakan diri (Norhana & Raihanah, 2018).

Maklumat mengenai kesihatan reproduktif ini sewajarnya didedahkan dengan lebih awal, terutamanyadari peringkat sekolah lagi. Remaja terdedah kepada pelbagai masalah seksual seks bebas, kehamilan dan kelahiran luar nikah, pembuangan bayi dan jangkitan penyakit seperti penyakit kelamin dan HIV Aids(Roslida, 2017). Berdasarkan penemuan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2014, kebanyakan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun masih kurang faham mengenai organ seksual dan reproduktif, pengetahuan mengenai HIV Aids dan jangkitan seksual lain. Pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif amat penting bagi membantu golongan remaja dalam menghadapi pelbagai aspek perubahan diri disamping membantu mengelakkan dari terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. 

Kesihatan reproduktif juga amat penting dalam menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Pasangan suami-isteri seharusnya lebih selesa dalam membicarakan kesihatan reproduktif supaya tidak timbul sebarang permasalahan kelak. Selain tertumpu kepada konsep dan pemahaman kesihatan reproduktif, suami-isteri juga turut perlu menekankan aspek perancangan keluarga. Perancangan keluarga adalah penting dalam memastikan keharmonian sesebuah keluarga terus kekal teguh tanpa sebarang tekanan emosi dan kewangan, disamping meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan (Fuziah & Rafaie, 2019).

Pada awal tahun 2020, dunia telah dilanda pandemik COVID-19. Situasi penularan wabak virus yang belum pernah dialami dalam sejarah ketamadunan manusia ini bukan sahaja telah meragut jutaan nyawa penduduk dunia, malah telah mengubah pelbagai aspek kehidupan. Menurut sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), wabak yang mula menular dari bandar Wuhan, China ini dikenalpasti berpunca daripada unsur genetik binatang berbahaya termasuk kelawar dan ular. Bermula dengan demam, batuk dan selsema, wabak virus ini kemudiannya mulai menyerang organ-organ utama manusia hingga mampu mengakibatkan kematian(Harapan et al, 2020). Sistem perubatan juga terjejas teruk dan hampir lumpuh disebabkan wabak virus ini. Hospitalyang menguruskan kes-kes COVID-19 kebanyakkannya telah mencapai tahap kapasiti penuh, disamping menghadapi kekurangan kakitangan untuk merawat pesakit. 

Kesan dari situasi pandemik yang masih berlarutan ini, pelbagai isu dan cabaran yang serius berkaitan kesihatan reproduktif mulai timbul dan memberi memberi kesan kepada masyarakat khususnya wanita dan remaja di seluruh dunia. Di negara yang kurang maju telah mengalami penurunan sebanyak 10 peratus dalam perkhidmatan dan penjagaan kesihatan reproduktif. Selain itu, lebih 49 juta wanita mempunyai kehamilan yang tidak dirancang, mencatatkan lebih 168,000 kematian bayi dan lebih 3 juta pengguguran dengan cara yang tidak selamat(Riley et al, 2020).

Penduduk dunia dijangkakan mengalami penyusutan jumlah penduduk. Berdasarkan dapatan data, kebanyakkan penduduk di negara maju termasuk Amerika Syarikat mula mengubah persepsi dan pandanganuntuk melewatkan kehamilan atau mengubah pelan kehamilan (Laura et al, 2020). Pada masa yang sama, negara kurang membangun seperti negera di benua Afrika, telah mengalami gangguan dalam perkhidmatan kesihatan reproduktif, sekaligus mampu meningkatkan kadar kehamilan yang tidak dirancang dalam kumpulan tertentu, khususnya remaja (Plan International, 2020). 

Pandemik COVID-19 juga telah menyebabkan ramai di antara penduduk dunia, khususnya wanita dan remaja hilang punca pendapatan serta terjerumus dalam kategori miskin. Kesannya, ramai di antara mereka terpaksa melakukan kerja tanpa gaji di rumah selain bergantung harap pada bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup.

Di Malaysia, perkara yang sama sedang berlaku. Dengan jumlah kes harian COVID-19 yang semakin meningkat dan negara masih dalam arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan hospital kini lebih tertumpu kepada aktiviti rawatan dan pemulihan wabak berbanding memberi fokus kepada kesihatan reproduktif. Hospital dan klinik yang memberi perkhidmatan kesihatan reproduktif pada awalnya juga tidak diberikan hak sebagai perkhidmatan penting (essential service) dalam memberi perkhidmatan kepada kumpulan sasar. Kajian tinjauan yang dilaksanakan LPPKN pada Julai 2020 mendapati, hampir 30 peratus responden yang terdiri daripada pasangan berkahwin mengalami kesukaran dalam mendapatkan bekalan kontraseptif semasa pandemik COVID-19 (LPPKN, 2020). Kajian ini juga menunjukkan 1 daripada 3 responden menyatakan bahawa dengan penularan wabak COVID-19 yang berterusan telah mengubah perancangan mereka bagi menangguhkan kehamilan dan menimang cahaya mata. Antara faktor yang menyumbang kepada penangguhan kehamilan termasuklah tidak mempunyai simpanan yang mencukupi (58.0%), risau dijangkiti COVID-19 (34.0%), risau akses rawatan kehamilan terganggu (32.0%) dan faktor kewangan (31.0%). Kadar pertumbuhan penduduk dan kadar kelahiran di Malaysia pada tahun depan dijangka akan menurun (LPPKN, 2020), selari dengan dapatan data dari beberapa buah negara lain termasuk Amerika Syarikat dan negara Eropah.

Mengikut jangkaan penduduk yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penduduk Malaysia akan meningkat daripada 32.6 juta pada tahun 2019 kepada 44.5 juta pada tahun 2050, namun menguncup kepada 46.1 juta pada tahun 2072(DOSM, 2016; LPPKN, 2018). Malaysia juga dijangka mencapai status ‘Negara Tua’ menjelang tahun 2030, kesan dari penurunan mendadak dalam kadar kesuburan jumlah (total fertility rate) yang kini telah mencecah perkadaran sebanyak 1.8 pada tahun 2018 (DOSM, 2019). Namun dengan situasi pandemik yang tidak terkawal. kadar kesuburan jumlah (KKJ) mungkin menurun ke tahap yang lebih rendah. 

Dalam ketika mengharungi situasi krisis ini, Kerajaan dengan kerjasama pihak berkepentingan lain haruslah berganding bahu dalam memastikan segala aspek keperluan masyarakat mampu dipenuhi termasuklah keperluan kesihatan reproduktif. Wanita dan remaja perlu didedahkan kepada konsep yang tepat akan kesihatan reproduktif, selain maklumat lanjut berkaitan amalan perancangan keluarga. Maklumat ini penting sebagai salah satu usaha untuk menjamin tahap kesihatan dan kesejahteraan wanita, serta cara yang efektif dalam mengurangkan kelahiran dan seterusnya mengawal kadar kesuburan. Mengambil contoh akan usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan di Indonesia.Pengenalan dan penerapan ilmu berkaitan kaedah perancangan keluarga kepada masyarakat telah dilaksanakan secara besar-besaran dengan menerapkan bahawa “memiliki anak yang ramai bukanlah suatu ukuran keluarga yang hebat, tetapi perlu meneliti dari aspek kualiti setiap anak yang dilahirkan” (Norhana & Raihanah, 2018).Penekanan juga turut diberikan kepada ibu yang sedang menyusu bagi memastikan kesejahteraan diri wanita dan tidak terdedah kepada sebarang komplikasi terutama kepada anak atau bayi. 

Justeru itu, dengan sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai tahun ini yang bertemakan ‘Hak dan Pilihan Adalah:  Sama Ada Kelahiran Semakin Tinggi atau Semakin Rendah, Perubahan Kadar Kesuburan Bergantung Kepada Keutamaan Hak Dan Kesihatan Reproduktif Semua’ (Rights and Choices are the Answer: Whether baby boom or bust, the Solution to Shifting Fertility Rates Lies in Prioritizing the Reproductive Health and Rights of All People) (UNFPA, 2021), adalah diharapkan pihak Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan agensinya LPPKN mampu mempergiat usaha untuk mempromosi dan menyebar maklumat dan perkhidmatan berkaitan kesihatan reproduktif kepada masyarakat.   

Antara cadangan yang boleh ditambahbaik oleh pihak Kerajaan termasuklah menjadikan perkhidmatan perancangan keluarga di hospital dan klinik berkaitan sebagai perkhidmatan penting (essential service). Ini bagi membolehkan kumpulan yang terkesan termasuk wanita, remaja, warga/pekerja asing dan penduduk luar bandar mendapat akses kepada perkhidmatan ini. Selain itu, perlunya kerjasama erat di antara pihak Kerajaan, pengeluar kaedah perancangan keluargadan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memudahkan penyampaian kepada semua kumpulan sasar tidak kira yang menetap di bandar mahupun di luar bandar (UNFPA, 2020). Promosi, hebahan dan kempen perlu dipertingkatkan oleh pihak Kerajaan dengan menjadikan amalan di negara lain sebagai contoh hampir.

Disamping itu, Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu mempertimbangkan waktu kerja semasa, khususnya melibatkan wanita berkahwin dan berkeluarga bagi memastikan keseimbangan kerja-keluarga yang baik, terutamanya dalam situasi pandemik. Majikan juga disaran untuk sentiasa bertolak ansur dalam menyediakan kemudahan cuti sakit berbayar (untuk mereka dan ahli keluarga yang dijangkiti COVID-19), selain penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat bagi memudahkan urusan penjagaan anak.

Bagi memulihkan ekonomi negara, Kerajaan disaran untuk sentiasa memperkenalkan bidang baru bagi membolehkan kumpulan terjejas akibat kesan pandemik COVID-19 untuk kembali menjana pendapatan. Wanita dan remaja perlu diberi pendedahan tambahan berkaitan kemahiran baru yang boleh dilakukan untuk sentiasa proaktif mencari peluang menambahbaik kehidupan. 

Kesimpulanya, penjagaan kesihatan reproduktif dan amalan perancangan keluarga ini adalah dituntut, termasuklah dari perspektif Islam. Tiada nas yang jelas di dalam Al-Quran yang melarang suami dan isteri untuk menjarakkan kehamilan, mengatur keluarga, mengurangkan bilangan anak asalkan ianya mengikut kemampuan fizikal dan ekonomi keluarga masing-masing(Akhter, 1973).Dalam keadaan pandemik COVID-19, masyarakat tidak seharusnya cepat gelisah dan melatah, malah menjadikan situasiini sebagai suatu permulaan bagi pemahaman konsep dan amalan yang tepat berkaitan kesihatan reproduktif dan amalan perancangan keluarga. Usah dirisaukan berkenaan penguncupan penduduk di masa hadapan, tapi perlu memperbaiki pemahamana berkaitan kualiti generasi yang akan dilahirkan untuk pembangunan negara di masa hadapan.

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2021: Nurmirsya Afifiellya binti Mohammad Nor, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

RUJUKAN:

Akhter Hameed Khan. (1973). “Islamic Opinion on Contraceptive.” dalam Muslim Attitudes Toward Family Planning. New York: The Population Council.

Fuziah Paiman dan Rafaie Amin. (2019). MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. Diperoleh daripada Merancang Keluarga: http://www.myhealth.gov.my/perancang-keluarga/

Harapan. H., Itoh. N., Yufika, A., Winardi, W., Keam, S., Te, H., Megawati, D., Zinatul Hayati, Wagner, L. dan Mudatsir, M. (2020). Coronavirus disease 2019 (COVID-19): A literature review. Journal of of Infection and Public Health 13, 667-673.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). (2016). Unjuran Penduduk (Semakan Semula) Malaysia 2010-2040. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). (2019). Perangkaan Penting, Malaysia. 

Laura, D. Lindberg, Alicia, V., Mueller, J. dan Kirstein, M. (2020). Guttmacher Institute. Diperoleh daripada Early Impacts of the COVID-19 Pandemic: Findings from the 2020 Guttmacher Survey of Reproductive Health Experiences: https://www.guttmacher.org/sites/default/files/report_pdf/early-impacts-covid-19-pandemic-findings-2020-guttmacher-survey-reproductive-health.pdf

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2016). Laporan Penemuan Utama Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5). Kuala Lumpur: LPPKN.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2018). Analisi Situasi Kependudukan dan Keluarga Malaysia. Kuala Lumpur: LPPKN. 

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2020). Family Repository. Diperoleh daripada Kesan Pandemik COVID-19 Terhadap Perubahan Tingkah Laku dan Gaya Hidup, Bekerja Dari Rumah (BDR) serta Perancangan Keluarga: http://familyrepository.lppkn.gov.my/835/1/Infografik%20Kajian%20Tinjauan%20Kesan%20Pandemik%20Covid-19.pdf

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2021a). Family Repository. Diperoleh daripada World Population Day 2021: Rights and Choices are the Answer: Whether Baby Boom or Bust, the Solution Lies in Priotizing the Reproductive Health and Rights of All People: http://familyrepository.lppkn.gov.my/905/1/Infografik%20WPD%202021%203.pdf

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). (2021a). Malaysia Population Research Hub.Diperoleh daripada World Population Day 2021: Rights and Choices are the Answer: Whether Baby Boom or Bust, the Solution Lies in Priotizing the Reproductive Health and Rights of All People: https://mprh.lppkn.gov.my/2021/07/13/rights-and-choices-are-the-answer-whether-baby-boom-or-bust-the-solution-lies-in-prioritizing-the-reproductive-health-and-rights-of-all-people/

Noorhayati Kassim dan R.Soon. (2016). MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia. Diperoleh daripada Pengurusan Masalah Seksual Suami Isteri: http://www.myhealth.gov.my/pengurusan-masalah-seksual-suami-isteri/

Norhana Ahad, dan Raihana Abdullah. (2018). Islam dan Hak Kesihatan Reproduktif Wanita Berkahwin: Satu Sorotan Literatur. Journal of Shariah Law Research, 65-88.

Plan International. (2020). Plan International. Diperoleh daripada COVID-19: Lockdown Linked to High Number of Unintended Teen Pregnancies in Kenya: https://plan-international.org/news/2020-06-25-covid-19-lockdown-linked-high-number-unintended-teen-pregnancies-kenya

Riley, T., Sully, E., Zara, A. dan Biddlecom, A. (2020). Estimates of the Potential Impact of the COVID-19 Pandemic on Sexual and Reproductive Health in Low- and Middle-Income Countries. Diperoleh daripada Guttmacher Institute: https://www.guttmacher.org/sites/default/files/article_files/4607320.pdf

Roslida Mohamed. (2017). Laman Rasmi Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia. Diperoleh daripada Pentingnya Pendidikan dan Ilmu Kesihatan Reproduktif kepada Remaja: http://www.kk.usm.my/index.php/95-doktor-usm-di-radio/776-pentingnya-pendidikan-dan-ilmu-kesihatan-reproduktif-kepada-remaja

United Nation (UN). (1995). Report of the International Conference on Population and Development, Cairo. New York: United Nation.

United Nation Population Fund (UNFPA). (2020). The Impact of COVID-19 on Human Fertility in the Asia-Pacific Region: UNFPA.

United Nation Population Fund (UNFPA). (2021). World Population Day. Diperoleh daripada World Population Day: Rights and choices are the answer: Whether baby boom or bust, the solution to shifting fertility rates lies in prioritizing the reproductive health and rights of all people:https://www.unfpa.org/events/world-population-day