Malaysia Population Research Hub

Cabaran Kesihatan Reproduktif dan Usaha Murni LPPKN dalam Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat Malaysia semasa Pandemik COVID-19

Detik hitam yang bermula di Wuhan, China, pada Disember 2019 telah tercetusnya wabak pandemik COVID-19 (Hashem et al., 2021) dengan penyebaran virus yang sangat cepat dan dalam hanya dalam masa beberapa bulan pada awal tahun 2020 sudah hampir merebak ke seluruh negara di dunia. Pada awal penyebaran virus tersebut, masyarakat dunia masih lagi dalam keadaan persediaan untuk perayaan Krismas dan sambutan akhir tahun bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai. Manakala untuk warga rakyat China pula, mereka sibuk dengan menyiapkan perayaan sambutan Tahun Baru Cina yang merupakan perayaan terbesar negara tersebut. Malang tidak berbau, penyebaran virus COVID-19 yang sangat cepat membantut semua aktiviti yang bukan sahaja di China, namun semua negara di dunia termasuklah di Malaysia, sehingga pihak World Health Organization (WHO) mengisytiharkan pandemik disebabkan oleh penyakit COVID-19 (Huang et al., 2020). Hasil nasihat daripada WHO, hampir kesemua negara di dunia cuba mengatasi rangkaian pandemik COVID-19 dengan melakukan kawalan pergerakan dengan menghalang rakyat untuk keluar daripada rumah atau kediaman mereka demi membendung penularan dan sekaligus untuk memutuskan rangkaian jangkitan demi kesejahteraan sejagat.

Berdasarkan kepada data daripada WHO, jumlah kematian di dunia yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 sehingga Jun 2021 ialah seramai 3.94 juta penduduk (Myers, 2021). Jumlah ini sahaja begitu menggerunkan kerana dalam jarak masa yang singkat iaitu kurang daripada 24 bulan pandemik ini terjadi, terdapat ramai mangsa yang meninggal dunia disebabkan oleh pandemik COVID-19. Disamping itu, dengan jumlah jangkitan yang semakin meningkat dan pelbagai variasi virus COVID-19 yang telah dikenalpasti, memungkinkan jumlah angka kematian akan lebih meningkat serta keadaan akan semakin parah dari hari ke hari.

Di Malaysia, keadaan pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 dapat dikawal dengan sangat baik dengan tindakan kerajaan yang pantas yang diterajui dan dinasihati oleh pakar-pakar kedoktoran yang mahir dan terkemuka. Hasil yang memberangsangkan ini malah dipuji oleh pihak WHO yang turut menyatakan Malaysia sangat berwibawa dalam menjalankan tugas-tugas yang sukar seperti menangani pandemik tersebut. Namun, dengan situasi virus yang bermutasi menyebabkan negara Malaysia sekali lagi berdepan dengan situasi yang sangat membimbangkan dengan peningkatan pesakit baru yang setiap hari yang boleh mencecah sehingga belas ribu angka jangkitan baru harian.

Keadaan pandemik COVID-19 yang sedang melanda Malaysia tidak sesekali mematahkan semangat usaha kerajaan untuk memberikan perhatian kepada bahagian kesihatan lain. Ini terbukti melalui usaha kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) didalam memastikan hak kesihatan reproduksi kepada rakyat Malaysia sentiasa terjaga dan diberi perhatian khusus bagi kesejahteraan rakyat. Norma baru yang melibatkan kekangan pergerakan sesuatu tempat yang membataskan jarak di antara hubungan kekeluargaan dan sahabat menyebabkan hampir semua rakyat terkesan dengan menyebabkan ketidakstabilan emosi dan perasaan yang menjurus rasa keseorangan dan kebosanan. Yang menyedihkan lagi apabila terdapat sebilangan rakyat yang mengalami depresi sehingga mengambil keputusan membunuh diri disebabkan oleh tekanan yang dialami. Hak seseorang manusia untuk sentiasa hidup secara bebas tanpa batasan dan diskriminasi telah berubah sejak terjadi pandemik COVID-19. Seorang insan terutamanya yang sudah bersedia mendirikan rumah tangga perlu diberi peluang untuk berkahwin bagi bersama-sama dengan orang yang disayangi. Kerajaan mengambil serius perkara tersebut dengan membenarkan hak-hak manusia untuk bebas melakukan ikatan pertalian perkahwinan dengan mengikuti tatacara penjarakan jarak dan sosial semasa upacara diadakan. Selain daripada itu, keluarga yang mempunyai masalah dari segi kesihatan reproduktif seharusnya diberi peluang dan tidak didiskriminasikan memandangkan semua masalah kesihatan harus dipandang serius oleh semua pihak. Di samping itu juga, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa terjadinya peningkatan kes kehamilan yang tidak terancang disebabkan oleh kawalan perintah berkurung yang berlanjutan, serta kekangan untuk memperolehi kondom atau pil-pil perancang kehamilan di kedai-kedai atau farmasi.

Kajian turut menunjukkan terdapat sebilangan kecil masyarakat yang prihatin terhadap kesan langsung pandemik COVID-19 terhadap kesihatan reproduktif pada golongan lelaki dan wanita. Kesan-kesan yang dimaksudkan ialah potensi risiko semasa melakukan hubungan persetubuhan, risiko kejangkitan semasa hamil atau penyusuan ibu dan anak atau kesihatan wanita secara umumnya semasa dan selepas bersalin (Hashem et al., 2021). Ini kerana kebanyakan kajian berkaitan dengan risiko-risiko tersebut masih lagi kurang diketahui akan kesan sampingan pada jangka masa yang panjang. Diantara kes yang paling ketara yang menyumbangkan kepada peningkatan pandemik COVID-19 ialah penularan jangkitan melalui hubungan persetubuhan di antara pasangan. Ini disebabkan pertukaran air liur dan peluh semasa melakukan persetubuhan mempercepatkan lagi jangkitan di antara pesakit COVID-19 dengan pasangan yang sihat. Faktor-faktor ini merumitkan lagi keadaan untuk pasangan yang cuba untuk mendapatkan anak terutama keluarga yang masih lagi tidak mempunyai cahaya mata. Selain daripada itu, bukti penemuan jangkitan COVID-19 kepada susu ibu yang positif COVID-19  turut dijumpai dan kemungkinan besar akan menjangkiti bayi yang masih menyusu. Impak ini turut memberi kesan yang sangat besar bukan sahaja kepada bayi namun juga kepada sang ibu. Kesukaran untuk menyusukan bayi secara penyusuan badan akan sedikit sebanyak mengurangkan ikatan kasih sayang dan sentuhan manja ibu kepada anaknya. Keadaan ini akan memberikan tekanan yang besar kepada kesihatan fizikal ibu yang masih lagi dalam tahap berpantang disamping turut diperlukan untuk melawan penyakit COVID-19. Szuster et al. (2021) turut menjelaskan bahawa golongan wanita lebih banyak berasosiasi dengan depresi dan tekanan berbanding dengan golongan lelaki yang selari dengan peningkatan disfungsi seksual disebabkan oleh pendemik COVID-19. Peningkatan disfungsi seksual ini boleh menyebabkan pengurangan pada paras libido dan kekerapan aktiviti seksual yang rendah (Szuster et al., 2021).

Untuk pasangan yang ingin melakukan Teknologi Bantuan Konsepsi (Assisted Reporductive Technology – ART), golongan pasangan ini akan lebih berasa sedikit resah (de Souza e tal., 2020) terhadap nasib yang banyak bergantung kepada keadaan semasa di hospital disebabkan jangkitan pandemik COVID-19 itu boleh terjangkit semasa berada di hospital. Ini ditambah pula dengan keadaan mereka yang mempunyai kesukaran untuk memperolehi anak secara semula jadi dan faktor umur yang semakin meningkat, seterusnya memberikan tekanan yang lebih tinggi kepada golongan tersebut.

Dari awal penularan pandemik COVID-19, jurang perbezaan jangkitan terhadap golongan lelaki dan wanita ialah sangat ketara. Kumpulan lelaki dipercayai peratusan jangkitan pandemik COVID-19 yang lebih tinggi daripada golongan wanita dan data ini terbukti melalui kajian statistik yang dilakukan di negara-negara seperti China (50% – 66%) (Chen et al., 2020), Itali (60% – 70%) (Remuzzi dan Rumuzzi, 2020) dan Korea Selatan. Golongan wanita dikatakan mempunyai imunisasi yang lebih tinggi daripada golongan lelaki dan ini membolehkan daya ketahanan mereka lebih tinggi untuk menentang penyakit termasuklah virus. Ini boleh dijelaskan dengan kajian saintifik yang menunjukkan bahawa gen golongan wanita mempunyai ketahanan jangkitan yang lebih tinggi untuk kes SARS-COV-2 yang didokumentasikan oleh pakar penyelidik perubatan.

Jika berlakunya diskriminasi terhadap hak-hak kesihatan reproduktif di luar negara, kempen-kempen awam akan dilaksanakan untuk menyuarakan dan meningkatkan kesedaran terhadap perlanggaran hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka. Keadaan ini tidak pernah berlaku di Malaysia memandangkan kerajaan memandang serius dengan perkembangan jumlah penduduk di Malaysia. Dengan adanya Pelan Strategik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2016 – 2020, kerajaan komited untuk meningkatkan Indeks Kesejahteraan Keluarga melalui domain seperti hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan keluarga, keselamatan keluarga, keluarga dan komuniti, keluarga dan agama atau kerohanian, perumahan dan persekitaran, dan keluarga dan teknologi komunikasi (LPPKN, 2016). Diantara teras yang diketengahkan di dalam pelan ini ialah pada Teras Strategik 3 (TS3) iaitu Pemerkasaan Dasar Keluarga Negara (DKN) untuk membangun keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien bagi memastikan kestabilan sosial berasaskan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK), dan Teras Strategik 4 (TS4) iaitu Aksesibiliti terhadap perkhidmatan kekeluargaan. Kedua-dua teras ini mengutamakan masyarakat secara umumnya di dalam meningkatkan perkhidmatan dan pertolongan kepada golongan B40 serta sokongan keluarga yang memerlukannya. Selain daripada itu, Teras Strategik 4 (TS4) turut menunjukkan peranan kerajaan untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan  dan kekeluargaan melalui perkhidmatan kaunseling dan meditasi.

Walaupun negara mengalami pandemik yang sangat mencabar kepada semua lapisan masyarakat, namun banyak usaha-usaha murni yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan-kumpulan kecil dan golongan individu yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat di Malaysia. Antara usaha yang dijalankan ialah dengan memberi pendedahan secara webinar atau maya tentang kepentingan kesihatan mental dan fizikal serta keperluan utama untuk penjarakan sosial dan penggunaan topeng muka untuk membendung penularan COVID-19. Disamping itu juga, pemimpin-pemimpin negara turut mengambil langkah proaktif dalam usaha meningkatkan imunisasi vaksinasi kepada segenap masyarakat dengan lebih 40% daripada masyarakat Malaysia telah ambil vaksinasi lengkap. LPPKN perlu membuat pelan strategik yang baru dengan mengambil kira keperluan disebabkan oleh pandemik COVID-19 untuk meningkatkan lagi kesihatan reproduktif rakyat Malaysia. Usaha murni yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan melalui LPPKN harus diteruskan demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat di Malaysia.

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2021: Elvaene James, Persendirian

RUJUKAN:

Chen, H., Guo, J., Wang, C., Luo, F., Yu, X., Zhang, W., Li, J., Zhao, D., Xu, D., Gong, Q., Liao, J., Yang, H., Hou, W. & Zhang, Y.. 2020. Clinical characteristics and intrauterine vertical transmission potential of COVID-19 infection in nine pregnant women: a retrospective review of medical records. Lancet, 395, 809-815.

De Souza, M. D. C. B., Nakagawa, H., Taitson, P. F., Cordts, E. B. & Antunes, R. A. 2020. Management of ART and COVID-19: infertility in times of pandemic. What now? JBRA Assist Reprod, 24, 231-232.

Hashem, N. M., Abdelnour, S. A., Alhimaidi, A. R. & Swelum, A. A. Potential impacts of COVID-19 on reproductive health: Scientific findings and social dimension. Saudi Journal of Biological Sciences, 28(3) 1701-1712.

Huang, C., Wang, Y., Li, X., Ren, L., Zhao, J., Hu, Y., Zhang, L., Fan, G., Xu, J., Gu, X., Cheng, Z., Yu, Ti., Xia, J., Wei, Y., Wu, W., Xie, X., Yin, W., Li, H., Liu, M., Xiao, Y., Gao, H., Guo, L., Xie, J., Wang, G., Jiang, R., Gao, Z., Jin, Q., Wang, J. & Cao, B. 2020. Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China. The Lancet, 395(10223), 497-506.

LPPKN. 2016. Pelan Strategik LPPKN 2016-2020. Kuala Lumpur: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Myers, J. 2021. COVID-19: What you need to know about the coronavirus pandemic on 1 July. World Economic Forum. https://www.weforum.org/agenda/2021/07/covid-19-coronavirus-pandemic-1-july-2021/

Remuzzi, A. & Remuzzi, G. 2020. COVID-19 and Italy: what next? The Lancet, 395, 10231.

Szuster, E., Kostrzewska, P., Pawlikowska, A., Mandera, A., Biernikiewicz, M. M. D. & Kalka, D. M. D. 2021. Mental and sexual health of Polish women of reproductive age durign the COVID-19 pandemic – An online survey. Sexual Medicine, 9(4), 100367.