Walaupun seorang lelaki dianggap mampu sahaja untuk menjaga seorang atau lebih anak, namun bagi melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan baik bukan perkara yang mudah. Bapa, selain bertanggungjawab sebagai ketua keluarga dan penyumbang sumber pendapatan utama isi rumah, bapa juga adalah individu pelindung, role-model dan “Cikgu Disiplin” di rumah. Bapa jugalah individu yang tidak mengenal erti penat lelah, dan jarang sekali berkongsi masalah yang dihadapinya dengan ahli keluarga. Bagi mereka, memadailah untuk melihat ahli keluarga khususnya anak-anak membesar penuh kegembiraan tanpa mengalami sebarang kesulitan dan kesusahan hidup.
Sejak pandemik COVID-19 melanda, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak Mac 2020 yang lalu, peranan dan tanggungjawab seorang bapa semakin mencabar. Amalan rutin harian keluarga dan cara gaya kerja hakiki telah berubah 360 darjah. Tidak cukup dengan itu, bapa juga perlu memastikan tahap kesihatan dan keselamatan ahli keluarganya sentiasa di tahap terbaik bagi mengelak dari dijangkiti wabak pandemik COVID-19, dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Selain itu, perlaksaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi anak yang masih bersekolah juga memerlukan bapa menyediakan peranti pintar dan talian internet secukupnya bagi anak-anak untuk belajar secara dalam talian.
Sehubungan dengan itu, bagi mendapatkan informasi terkini berkaitan golongan bapa dan institusi kekeluargaan dalam negara, khususnya dalam menjalani kehidupan norma baharu pandemik COVID-19, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan satu tinjauan pendapat umum bersempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021, yang dijalankan secara dalam talian pada 14 sehingga 18 Jun 2021. Tinjauan ini melibatkan sejumlah 1,776 orang responden yang merupakan golongan bapa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas dan mempunyai anak berumur 3 hingga 24 tahun sahaja.
Sebelum pandemik COVID-19 melanda, bapa didapati berperanan penting dalam menjana dan menguruskan kewangan keluarga (28.5%), selain memastikan keperluan harian keluarga mencukupi (29.9%). Bapa juga berperanan sebagai pendokong utama kepada para ibu, iaitu bersama-sama melibatkan diri untuk menguruskan hal-hal penting berkaitan keluarga bersama dengan pasangan (melebihi 50 peratus). Semasa pandemik melanda, didapati tugasan pengurusan keluarga terus dikongsi dengan lebih menyeluruh secara bersama oleh pasangan suami isteri (ibu dan bapa). Penemuan ini sememangnya menunjukkan suatu petanda positif dalam institusi kekeluargaan, dimana berlaku peningkatan dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab oleh bapa untuk membantu pengurusan keluarga dan tidak hanya mengharapkan pasangan (isteri dan ibu) semata-mata.
Dengan penularan COVID-19 yang masih beleluasa dalam negara, peranan bapa dalam memastikan ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat dan mematuhi SOP yang ditetapkan amat penting. Hasil tinjauan mendapati kebanyakan golongan bapa sentiasa berkongsi maklumat berkaitan COVID-19 dengan ahli keluarga khususnya anak – anak dengan sentiasa berbual akan bahaya jangkitan dan pentingnya untuk sentiasa berada dalam keadaan sihat (30.1%). Ini diikuti perkongsian maklumat berkaitan Covid-19 melalui media sosial termasuk Whatsapp, Facebook dan Telegram (28.4%).
Kesejahteraan bapa dalam institusi keluarga ketika ini sebenarnya amatlah kritikal dalam memandu keluarga menempuh tempoh mencabar era pandemik COVID-19 ini. Tinjaun mendapati lebih daripada separuh responden iaitu 53.4 peratus menyatakan tahap kesejahteraan mereka sebagai seorang bapa berada pada tahap yang baik meskipun pandemik COVID-19 melanda. Walaubagaimana pun, terdapat pelbagai perkara yang membimbangkan mereka pada saat ini impak dari penularan pandemik COVID-19. Antaranya ialah kesihatan dan keselamatan ahli keluarga/anak – anak (49.7%), pendidikan anak – anak di sekolah/pusat pengajian tinggi (23.5%) serta ekonomi dan pendapatan keluarga (20.5%).
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
Pandemik COVID-19 sememangnya telah merubah kaedah pembelajaran dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran yang dahulunya dilaksanakan secara bersemuka kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Dengan pelaksanaan PdPR ini, tinjauan mendapati antara tiga cabaran PdPR kepada bapa ialah keperluan meningkatkan akses internet (75.8%), keperluan membuat pembelian tambahan peranti/gajet dan perisian komputer untuk anak-anak (65.5%) serta kurang mahir dengan kaedah dan perisian yang digunakan anak-anak ketika PdPR (32.3%). Didapati 2 daripada 5 bapa masih tidak yakin dan mahir dalam membantu anak – anak mengendalikan pembelajaran atas talian di rumah.
Pada hari ini, kira-kira 77.4 peratus bapa menyatakan mereka membenarkan anak-anak untuk memiliki peranti pintar dengan hampir keseluruhan responden menyatakan penggunaan utama ketika ini adalah sebagai medium pembelajaran (89.7%). Namun, penggunaan peranti pintar secara berterusan juga telah membimbangkan para bapa antaranya ketagihan penggunaan (62.9%), terdedah dengan pengaruh negatif media sosial/laman web tidak terkawal (55.5%) dan leka dari pelajaran (46.2%). Disebabkan itu, 38 peratus bapa berpendapat tempoh masa ideal untuk anak – anak menggunakan peranti pintar adalah tidak melebihi 4 jam sehari.
Selain itu, penemuan menarik juga mendapati bahawa para bapa di dalam negara ketika ini secara keseluruhannya mengamalkan kaedah Authoritative Dolphin (60.2%) iaitu belajar dari kesilapan dan perbaikinya. Secara psikologi, cara seorang bapa mendisiplinkan anak sememangnya berbeza dari kaum ibu. Bapa lebih suka akan kaedah yang lebih longgar, tidak terlalu menekan namun masih menekankan nilai kebertanggungjawaban. Melalui tinjauan ini, dapat dirumuskan bahawa kaum bapa di dalam negara ketika ini kekal berada pada tahap yang memuaskan selain sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik demi keluarga masing-masing. Keikhlasan itu dapat dilihat apabila lebih separuh daripada mereka menyatakan tiadalah perkara lain yang diharapkan melainkan memadai dengan hanya ucapan atau kata – kata semangat bagi mengingati pengorbanan mereka selama ini (51.4%), bersempena sambutan Hari Bapa,”Bapa Pemimpin, Keluarga Sejahtera!”
Download : Infografik Tinjauan Pendapat Hari Bapa 2021