Malaysia Population Research Hub

Kajian Tinjauan Pendapat: Impak COVID-19 Terhadap Ibu Bapa

Sejak pandemik COVID-19 mula melanda, bencana ini telah merubah hampir keseluruhan corak kehidupan masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia. Krisis COVID-19 telah menyebabkan pihak kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020, dan masyarakat, khususnya golongan yang berisiko disarankan untuk kekal berada di rumah dan mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri. Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato Muhyiddin Yassin dalam ucapannya juga menyebut bahawa masyarakat kini perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung, menjaga penjarakan fizikal, mengelakkan dari mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran, tidak bersesak di kawasan awam dan mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri kerana pandemik ini amat berbahaya dan pakar kesihatan berpendapat ia mampu merebak untuk suatu jangka masa yang lama.

Walaubagaimana pun dari perspektif keluarga, PKP dilihat mampu mewujudkan ruang dan peluang bagi ahli keluarga untuk memperbaiki hubungan selain memahami dengan lebih baik antara satu sama lain kerana sebahagian besar ahli keluarga akan kekal berada di rumah. Namun, setelah lebih setahun wabak COVID-19 melanda, ditambah ketika negara kini sedang berhadapan gelombang ketiga pandemik, kehidupan norma baharu dilihat mula memberi kesan dari pelbagai aspek kehidupan terutama institusi kekeluargaan.

Justeru, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengambil inisiatif untuk menjalankan satu tinjauan pendapat umum bagi mengetahui sejauh manakah cabaran, tahap tekanan emosi dan kesihatan mental yang dihadapi ibu bapa, selain ingin mengetahui sebarang corak perubahan yang berlaku dalam persekitaran keluarga. Tinjauan ini dilaksanakan secara dalam talian pada 5 sehingga 14 Mac 2021 dengan penglibatan 1,148 responden yang terdiri daripada golongan ibu dan bapa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mempunyai anak berumur 7 hingga 24 tahun sahaja.

Sebelum tercetusnya gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP 2.0 pada awal tahun ini, 49.4 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka dan keluarga hampir kembali normal dan majoriti daripada mereka mulai peka, faham dan mengamalkan cara kehidupan norma baharu. Namun begitu, selepas tercetusnya gelombang ketiga dan pelaksanaan PKP 2.0, hampir 80.0 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka mulai terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan mental.

Dari segi ekonomi keluarga, hampir 28.0 peratus ibu bapa menyatakan keadaan kewangan mereka semakin teruk berbanding ketika tempoh gelombang pandemik dan perlaksanaan PKP sebelumnya. Dengan bebanan dan tanggungjawab yang dipikul, faktor kewangan kekeluargaan yang terkesan teruk mampu mengugat kesihatan dan kesejahteraan mental pasangan suami isteri/ibu dan bapa. Ini terbukti apabila dapatan tinjauan mendapati 84.1 peratus ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) semasa gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda. Faktor utama ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres adalah disebabkan oleh pendidikan anak-anak (21.3%), diikuti penglibatan aktiviti luar yang terhad – terpaksa berkurung (16.4%) dan tempoh pelaksanaan PKP yang tidak dapat dipastikan (12.2%). Terkesan dengan tekanan emosi atau stres, 63.0 peratus daripadanya pula menyatakan pernah mengalami kemurungan. Kesan dari kemurungan tersebut, 20.4 peratus ibu bapa mula sukar mengawal kemarahan. Ini diikuti dengan mereka yang sukar tidur dengan tenang (16.8%) dan kerap sakit kepala atau perut (15.8%).

Pendidikan Anak-anak: Cabaran Utama Ibu Bapa Kini

Bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi, pihak Kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Oleh itu, peranti atau gajet merupakan salah satu keperluan utama dalam sistem pendidikan ketika ini. 9 daripada 10 ibu bapa menyatakan telah mempunyai sekurang – kurangnya satu peranti (seperti Ipad, Tablet, Komputer atau Telefon Pintar) bagi kegunaan anak-anak untuk PdPR. Namun begitu, hanya 37.5 peratus ibu bapa yang mampu menyediakan rangkaian internet jalur lebar yang stabil dan baik di rumah.

Majoriti (70.%) ibu bapa turut menyatakan persetujuan mereka bagi pembukaan semula sekolah dan pusat pengajian tinggi, dengan syarat pematuhan penuh kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan. Hal ini kerana, para ibu bapa mendapati anak-anak mengalami masalah pemahaman pembelajaran (24.4%), mudah bosan atau hilang fokus (19.2%) dan tiada peluang berinteraksi dengan guru (18.3%).

Way Forward

Pandemik COVID-19 sememangnya telah memberi impak yang besar dari segi ekonomi, sosial dan kehidupan seharian semua pihak, dan berdasarkan jangkaan daripada ibu bapa melalui tinjauan ini, pandemik COVID-19 dijangka akan terus menular dalam negara untuk tempoh lebih 1 hingga 3 tahun lagi (73.4%). Pihak kerajaan diharap untuk terus kekal berusaha dalam membantu golongan terkesan disamping merangka inisiatif baharu yang lebih menyeluruh. Bagi mencapai “herd immunity” pula, hampir keseluruhan ibu bapa (96.1%) bersetuju untuk menerima suntikan vaksinasi COVID-19 yang dibekalkan oleh pihak kerajaan bersama ahli keluarga.

Download : Infografik Gelombang Ketiga Pandemik COVID-19: Tekanan dan Cabaran Keibubapaan