Malaysia Population Research Hub

Pasangan Bekerja, Sejahterakah Mereka?

Kini, rata-rata pasangan berkahwin, khususnya pasangan yang menetap di bandar-bandar utama dalam negara perlu bekerja bagi menyara kehidupan berkeluarga. Peningkatan jumlah pasangan suami dan isteri yang bekerja adalah suatu situasi yang kian diterima oleh masyarakat pada masa kini. Jikalau dahulunya, lelaki dianggap sebagai individu penting dalam menjana dan menguruskan pendapatan keluarga. Namun, tidak lagi di zaman ini. Wanita juga dilihat mampu membantu dalam menjana pendapatan selain meningkatkan tahap kesejahteraan sesebuah institusi kekeluargaan.

Secara amnya, penglibatan wanita dalam pasaran buruh kini didorong oleh peningkatan dalam enrolmen ke peringkat pendidikan tertinggi di institusi pengajian dalam negara. Sejak dari tahun 1980, enrolment wanita ke peringkat tertinggi di institusi pengajian melonjak hampir 40.0 peratus pada tahun 2017. Dengan kelulusan yang diterima dan peluang yang disediakan oleh pihak Kerajaan, graduan wanita mula menyertai pasaran buruh. Sehingga tahun 2018, Kadar Penyertaan Buruh Wanita dalam negara telah mencapai 55.2 peratus, meningkat sebanyak 8.0 peratus sejak dari tahun 2000.

Bagi wanita, mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri adalah matlamat hidup yang paling diharapkan. Ramai wanita kini mempunyai kerjaya dalam bidang kepakaran masing-masing, tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta. Data dan statistik turut menunjukkan bahawa penglibatan wanita dalam pengurusan tertinggi sesebuah organisasi kian meningkat saban tahun, selaras dengan hasrat Kerajaan agar wanita tidak diketepikan dan mendapat peluang yang adil dalam bidang pekerjaan.

Namun begitu, didapati wanita bekerja yang telah berkahwin, sering menghadapi konflik keluarga, terutamanya dalam mengimbangi waktu kerja dan keluarga. Kehidupan seorang wanita bekerjaya akan mempunyai cabaran dan konflik tersendiri dalam mencari keseimbangan kerja dan kehidupan, lebih-lebih lagi pada mereka yang memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Bukan sesuatu tugas yang mudah untuk mencapai titik keseimbangan tersebut. Justeru, bagaimanakah seseorang wanita itu dapat membahagikan masanya di antara kerja dan keluarga? Sudah pastinya pelbagai emosi dan tekanan yang harus dialami oleh mereka, tidak kira positif mahupun negatif. Kegagalan dalam mengatasi emosi tersebut akan bakal memberikan impak besar terhadap kerjaya ekoran hilang fokus dan produktiviti pada kerja serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Menyedari akan situasi ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalankan Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) bagi mengukur tahap kesejahteraan sesebuah institusi kekeluargaan di Malaysia. Dengan menggunapakai domain dan indikator kesejahteraan keluarga yang telah dikenalpasti, IKK terbaharu iaitu IKK 2019 telah merekodkan skor 7.72 dari skala maksimum 10 mata.

Domain dan Indikator Kesejahteraan Keluarga

Daripada 5,005 orang responden bagi kajian IKK 2019, sebanyak 1,415 orang responden telah dikenalpasti adalah pasangan suami isteri yang bekerja, untuk dianalisa dalam artikel ini. Dengan menggunakan metodologi yang sama dengan kajian IKK 2019, artikel ini akan mengenalpasti indeks kesejahteraan pasangan berkahwin yang bekerja (menggunakan skala maksimum 10), cabaran dan isu yang dihadapi dan cadangan polisi untuk menambahbaik kualiti dan kesejahteraan hidup.

Secara keseluruhannya, skor IKK bagi pasangan berkahwin yang bekerja adalah 7.84 dari skala maksimum 10. Daripada domain yang digunapakai, didapati Domain Hubungan Kekeluargaan mencatatkan skor tertinggi iaitu 8.43 manakala Domain Keluarga & Teknologi Komunikasi mencatatkan skor terendah. Ini menunjukkan bahawa meskipun mempunyai risiko permasalahan keseimbangan waktu kerja dan keluarga, pasangan berkahwin yang bekerja masih mempunyai hubungan yang baik bersama ahli keluarga, namun masih kurang dari segi pemantauan dan penggunaan alatan telekomunikasi.

Skor IKK Pasangan Berkahwin Yang Bekerja

Analisis skor juga dilakukan mengikut kumpulan pendapatan. Hasil analisis mendapati, pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah yang tinggi akan menghasilkan skor yang lebih tinggi. Seperti dalam jadual di bawah, pasangan yang mempunyai pendapatan RM10,000 dan ke atas menunjukkan skor indeks yang tertinggi iaitu 8.08.

Analisis lanjutan turut dilakukan bagi melihat perbezaan skor antara pasangan berkahwin yang bekerja dan pasangan berkahwin – salah seorang sahaja yang bekerja (Single Income). Dalam pembandingan ini, fokus utama adalah melibatkan faktor ekonomi keluarga iaitu Domain Ekonomi Keluarga. Hasil analisis mendapati pasangan berkahwin yang bekerja mempunyai skor yang lebih tinggi, terutamanya pasangan yang mempunyai pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke atas dan tinggal di bandar.

Bagi membuktikan lagi hubungkait antara faktor kewangan dan tahap kesejahteraan, dua analisis regrasi berganda telah dilakukan. Analisis ini dilakukan mengikut jenis keluarga bersama lain-lain pemboleh ubah bersandar (dependent variables) seperti pendapatan dan etnik, terhadap skor keseluruhan kesejahteraan. Satu lagi analisis regresi dilakukan terhadap skor Domain Ekonomi terhadap pemboleh ubah bersandar yang sama.

Kedua-dua hasil analisis regresi mendapati bahawa terdapat hubungan negatif diantara