Malaysia Population Research Hub

Demografi Berubah: Bersediakah Malaysia?

Arus kemodenan telah memacu pelbagai perubahan di Malaysia setelah lebih enam dekad mencapai kemerdekaan. Pelbagai kemudahan telah diperkenalkan seperti kemudahan kesihatan, bekalan air bersih, dan bekalan elektrik telah berjaya mengurangkan kadar kematian dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di Malaysia. Peluang persekolahan juga telah memberikan kesempatan kepada masyarakat untuk memperoleh pengetahuan asas, kemahiran dan pengetahuan semasa. Kegiatan ekonomi juga telah beralih dari pertanian ke industri pembuatan. Kegiatan ekonomi yang memanfaatkan ilmu ini telah berkembang seiring dengan pertambahan tahap kemahiran masyarakat hasil penyertaan dalam pendidikan tinggi yang seterusnya meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran. Dengan penyertaan masyarakat dalam kegiatan ekonomi, ekonomi keluarga dapat diperbaiki dan membolehkan masyarakat menikmati kehidupan yang berkualiti.

Segala perubahan ini secara tidak langsung juga mempengaruhi sikap, cara berfikir dan pandangan hidup dalam masyarakat. Golongan wanita yang dahulunya menguruskan rumah tangga sahaja kini telah mula terlibat dalam kegiatan yang dahulunya dikuasai oleh golongan lelaki. Penyertaan wanita dalam politik, perniagaan bermodal besar, dan juga bidang-bidang ikhtisas seperti kejuruteraan, perubatan, reka cipta dan kewangan telah semakin meningkat. Pandangan mengenai kekeluargaan juga telah mula berevolusi dari segi melewatkan perkahwinan, menghadkan bilangan anak, hubungan suami isteri secara berkala, perhubungan jarak jauh dan pelbagai lagi corak kekeluargaan yang dahulunya menjadi larangan kini sudah mula mendapat penerimaan.

Kesan perubahan sosioekonomi dilihat mempengaruhi dinamik demografi di seluruh dunia amnya dan di Malaysia secara khususnya. Menurut hasil bancian Malaysia terkini pada tahun 2020, kadar kelahiran dan kematian telah menurun dibanding sedekad yang lalu. Ini memberi indikasi bahawa kadar kesuburan semakin berkurang dan jumlah jangka hayat semakin bertambah. Sekiranya perkara ini berterusan, Malaysia akan menjadi negara tua yang mempunyai rakyat warga emas yang ramai. Penemuan bancian Malaysia pada 2020, penduduk Malaysia yang berumur di bawah 15 tahun telah menurun kepada 24% berbanding 27.6% pada 2010. Manakala, peratusan penduduk bekerja yang berumur 15–64 tahun telah meningkat dari 67.3% pada tahun 2010 kepada 69.3% pada tahun 2020. Peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat dari 5% kepada 6.8% dalam masa sedekad (2010–2020). Walaupun pertambahan peratusan penduduk bekerja adalah baik dalam peningkatan potensi guna tenaga negara, namun pertambahan peratusan warga emas juga boleh membebankan negara dari pelbagai aspek termasuklah keselamatan sosial warga emas, ketidakseimbangan demografi dan juga kekurangan tenaga buruh yang mampu merencatkan produktiviti negara.

Malaysia seharusnya bersedia dalam menangani masalah negara yang sedang berevolusi ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang seperti kebanyakan negara tua yang lain. Secara amnya, Malaysia telah pun membuat pelbagai persediaan awal dalam menangani perubahan ini. Sebagai contoh, Malaysia telah mempunyai Dasar Warga Tua Negara sejak tahun1995 dan pemindaan telah dibuat pada tahun 2011 kepada Dasar Warga Emas Negara. Pelbagai organisasi telah ditubuhkan bagi memastikan perlaksanaan dasar ini serta menangani isu berkaitan warga emas dan fenomena penuaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Manakala, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula adalah institusi keselamatan sosial yang diperkenalkan oleh kerajaan sebagai jaminan simpanan persaraan warga emas di mana para majikan wajib memenuhi kewajipan sosial mereka dengan mencarum bagi pihak pekerja mereka. Selain itu, dasar keterbukaan negara juga sedikit sebanyak telah mengelakkan masalah kekurangan tenaga buruh yang bakal dihadapi apabila negara mencapai tahap negara tua kelak.

Tuntasnya, meskipun pelbagai persediaan telah dibuat oleh kerajaan Malaysia, masih terdapat pelbagai ruang lagi untuk mengisi kelompongannya. Sebagai negara yang berstatus negara membangun, Malaysia masih belum mempunyai kekuatan ekonomi dan kepakaran teknologi tinggi. Dengan itu, kerajaan perlu mencari cara bagi meyakinkan para pelabur luar bahawa Malaysia mampu memberi mereka pulangan yang baik kerana Malaysia mempunyai ramai graduan yang berpotensi tinggi namun masih menganggur dek kurangnya penawaran di pasaran guna tenaga. Selain itu, kerajaan juga harus mencari cara bagi mengatasi masalah kadar pertumbuhan penduduk. Keterlibatan golongan wanita dalam pembangunan kerjaya telah memberi kesan kepada keinginan berkahwin pada usia muda yang seterusnya menyebabkan masalah kesuburan. Gaya hidup moden juga telah menjadi salah satu punca penurunan kadar kesuburan. Dengan ini, Malaysia perlu memastikan bahawa rakyatnya akan memperoleh keuntungan sekiranya masalah ini dapat diatasi, umpamanya dengan penyediaan jaminan kesejahteraan keluarga dan juga kewangan. Seperkara lagi, pengambilan buruh asing bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh juga harus diperhalusi bagi membasmi masalah lain seperti jenayah dan kepadatan penduduk. Semoga dengan semua inisiatif yang bakal diperkenalkan akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya tahan menangani perubahan.

Rujukan:

Abdul Hamid, A. S. & Mokhtar, N. (2018). Malaysia Menuju Negara Tua: Apakah Yang Boleh Dipelajari Daripada Pengalaman Negara Jepun?. Human Sustainability Procedia (INSAN 2018 E-Proceeding). Johor Bahru, Johor, Malaysia, 7–8 November 2018.

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Penemuan Utama Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia, 2020 Versi 2.0. Jabatan Perangkaan Malaysia: Malaysia.

Jemain, A. A. & Ab Ghani, P. (2003). Menjejak Perubahan Fertiliti Dan Umur Perkahwinan Di Semenanjung Malaysia. Jurnal Teknologi39(C): 75–89.

Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Siti Nurbainun Parjo, Awam