Malaysia Population Research Hub

Daya Tahan Keluarga Muda di Malaysia

Saban tahun, jumlah kes perceraian yang berlaku dalam negara semakin meningkat khususnya melibatkan pasangan muda.  Setelah hampir empat hingga lima tahun melayari bahtera perkahwinan, pasangan mula menunjukkan tanda ketidaksepakatan dalam menguruskan institusi kekeluargaan masing-masing.  Ini disokong oleh dapatan daripada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang menunjukkan lebih satu pertiga perkahwinan pertama berakhir dengan perceraian dalam tempoh kurang dari lima tahun perkahwinan.  Dalam menghadapi cabaran dan krisis berkaitan institusi kekeluargaan, elemen daya tahan keluarga perlu dimantapkan.  Daya tahan atau resilien keluarga diperlukan dalam sesebuah institusi kekeluargaan bagi membantu ahli keluarga menjadi lebih kuat, bersedia dan mampu menangani segala cabaran serta rintangan dalam mendepani perubahan semasa.  

Perkahwinan merupakan asas pembinaan keluarga dan tunjang kepada sesebuah masyarakat. Perkahwinan juga dianggap sebagai langkah permulaan kepada pembentukan sesebuah institusi kekeluargaan.  Tren perkahwinan di Malaysia dalam kalangan masyarakat kian meningkat saban tahun dengan majoritinya berkahwin di antara umur 25 hingga 29 tahun (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019).  Jumlah perkahwinan yang direkodkan pada tahun 2016 ialah 200,274. Angka ini meningkat kepada 203,741 pada tahun 2017 dan terus meningkat kepada 206,253 pada tahun 2018. 

Negara ketika ini sering digemparkan dengan isu kekeluargaan seperti pengabaian tanggungjawab oleh ibu dan bapa, kes perceraian dan kurang prihatin terhadap institusi kekeluargaan.  Ia sekaligus memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan dan tumbesaran anak-anak.  Bebanan kewangan, terlalu asyik dengan tugasan harian di pejabat, kurangnya ilmu keibubapaan dan pegangan agama oleh ibu bapa adalah antara faktor utama yang menyebabkan kes pengabaian terhadap institusi kekeluargaan dan anak-anak. 

Di Malaysia ketika ini, apa yang lebih membimbangkan ialah isu dan kes perceraian yang semakin meningkat.  Dapatan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2017, jumlah perceraian yang direkodkan ialah 50,314 kes. Angka ini meningkat kepada 50,356 kes pada tahun 2018.  Lebih membimbangkan apabila majoriti daripada individu atau pasangan yang memfailkan perceraian adalah dalam kalangan pasangan/keluarga muda yang berumur di bawah 40 tahun (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2019).  

Menyedari kepentingan institusi kekeluargaan sebagai unit asas dalam melahirkan modal insan berkualiti, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan kajian Indeks Kesejahteraa Keluarga Malaysia (IKK) pada tahun 2019.  Kajian IKK bertujuan untuk mengukur tahap kesejahteraan dan mengenal pasti isu serta permasalahan yang dihadapi dalam institusi kekeluargaan.  Artikel ini membincangkan tentang kesejahteraan keluarga pasangan muda dengan menfokus kepada domain Hubungan Kekeluargaan dan indikator Daya Tahan Keluarga. 

TINJAUAN LITERATUR

LPPKN pada tahun 2011 telah memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK 2011) bagi mengukur tahap kesejahteraan keluarga.  Inisiatif pertama ini dijalankan bagi mengkaji kesan pelaksanaan dasar pembangunan sosial dan ekonomi negara kepada institusi kekeluargaan.  Hasil daripada beberapa siri Perbincangan Kumpulan Berfokus (Focus Group Discussion) dan ujian rintis, sebanyak tujuh domain utama dan 23 indikator telah dipilih dan digunapakai. Tujuh domain utama tersebut adalah (i) Domain Hubungan Kekeluargaan; (ii) Domain Ekonomi Keluarga; (iii) Domain Kesihatan Keluarga; (iv) Domain Keselamatan Keluarga; (v) Domain Keluarga dan Komuniti; (vi) Domain Keluarga dan Agama/Kerohanian; dan (vii) Domain Perumahan dan Persekitaran.  Secara keseluruhannya, IKK 2011 berada pada tahap sederhana dengan mencatatkan skor 7.55 daripada skala maksimum 10 mata.  Dapatan kajian ini telah dijadikan input utama dalam pengubalan polisi dan dasar, pembangunan program intervensi dan dijadikan sumber rujukan penyelidikan (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 2013).

Pada tahun 2016, tahap kesejahteraan keluarga dalam negara telah diukur semula melalui pelaksanaan siri kedua IKK (IKK 2016).  IKK 2016 telah mengekalkan kesemua tujuh domain utama dari IKK 2011 selain pengenalan satu domain baharu iaitu Domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi.  Penambahan ini disesuaikan dengan perubahan semasa teknologi telekomunikasi dan kekerapan penggunaan peranti digital dalam kehidupan seharian.  Skor IKK 2016 mencatatkan penurunan daripada 7.55 (2011) kepada 7.33 namun masih berada pada tahap sederhana (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 2016).

National Outcome yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) adalah untuk memastikan skor IKK mencapai 8.0 daripada skala maksimum 10 mata menjelang tahun 2020.  Namun, skor yang dicatatkan dalam siri ketiga IKK pada tahun 2019 ialah 7.72, kekal pada tahap sederhana meskipun telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.39 mata berbanding 7.33 bagi IKK 2016.  Daripada lapan domain yang telah dikenal pasti, Domain Hubungan Kekeluargaan mencatatkan skor domain yang tertinggi iaitu 8.35 manakala Domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi mencatatkan skor domain terendah iaitu 6.82.  Memandangkan sasaran untuk mencapai tahap kesejahteraan yang diingini masih belum dicapai, segala usaha dan inisiatif sedia ada yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga wajar diteruskan. Hasil penemuan dan intervensi polisi dari kajian IKK ini juga sewajarnya dijadikan sebagai panduan bagi memperkasakan keluarga dalam negara untuk mencapai tahap kesejahteraan keluarga yang lebih baik pada masa hadapan (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 2020).

Bagi memastikan institusi kekeluargaan dalam negara kekal stabil dan terus utuh, tiba masanya untuk memperbanyakkan lagi kajian yang memfokus kepada daya tahan keluarga khususnya dalam kalangan pasangan muda di samping cadangan pelaksanaan program intervensi yang bersesuaian untuk kesejahteraan keluarga.  Berdasarkan dapatan dari kajian IKK 2019, objektif utama artikel ini ialah untuk: 

  1. mengukur tahap kesejahteraan dan daya tahan keluarga muda; 
  2. mengukur perbezaan tahap kesejahteraan keluarga muda berdasarkan faktor demografi (strata, etnik, pendapatan dan status pekerjaan termasuk pasangan); dan 
  3. mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga muda ketika ini. 

Dapatan daripada artikel ini adalah diharapkan mampu dijadikan input yang bermanfaat kepada semua pemegang taruh khususnya kepada pengubal polisi dan dasar untuk memastikan matlamat negara tercapai.  Kutipan data yang dipersembahkan dalam artikel ini dilaksanakan sebelum bermulanya pandemik COVID-19 di Malaysia. 

METODOLOGI

Daripada responden kajian IKK 2019, seramai 2,150 orang ibu atau bapa yang berumur 40 tahun ke bawah dan mempunyai anak berumur antara 3 hingga 24 tahun telah dipilih dan di analisa. Selain kaedah pengiraan indeks dalam kajian IKK 2019, analisis regresi linear berganda turut digunapakai. 

PENEMUAN

Kajian mengenai pengukuran daya tahan keluarga muda di Malaysia berdasarkan penemuan IKK 2019 penting untuk dijalankan bagi memahami dengan lebih jelas akan tahap kesejahteraan dan daya tahan keluarga muda.  Kajian ini telah menfokuskan kepada taburan skor berdasarkan faktor demografi yang merangkumi jantina, status perkahwinan, kategori umur, jenis keluarga, kategori pendapatan, kawasan, strata dan pasangan dwi-pendapatan.  Kajian ini juga memberi fokus kepada perbezaan tahap kesejahteraan keluarga, hubungan kekeluargaan dan daya tahan keluarga muda berdasarkan faktor demografi (strata, pendapatan, status pekerjaan pasangan sama ada pasangan dwi-pendapatan (dual-earner) atau pasangan berpendapatan tunggal dan mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga muda ketika ini. Adalah diharapkan dapatan dari kajian ini mampu dijadikan input yang akan memanfaatkan kepada semua pemegang taruh khususnya kepada penggubal polisi dan dasar untuk memastikan kelestarian institusi keluarga menjadi antara matlamat utama negara di masa hadapan.  Hasil analisis mendapati tahap kesejahteraan dan daya tahan responden keluarga muda berada pada tahap yang sederhana. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang jelas terhadap daya tahan keluarga mengikut kumpulan umur di mana responden dari keluarga berusia 40 tahun dan ke atas mempunyai tahap kesejahteraan dan daya tahan lebih tinggi berbanding responden keluarga muda (bawah 40 tahun).  Analisis kajian juga menunjukkan responden yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai tahap kesejahteraan dan daya tahan yang lebih tinggi berbanding di bandar.  Kajian ini turut menunjukkan tren peningkatan skor indeks kesejahteraan mengikut pendapatan isi rumah yang semakin tinggi

KESIMPULAN

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan ke atas perubahan landskap kesejahteraan keluarga, pendidikan, kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental, pendapatan dan kewangan serta cara gaya kehidupan seharian penduduk Malaysia. IKK 2019 yang dijalankan telah ditambahbaik pelaksanaannya dengan mengambilkira pertambahan domain dan indikator dari IKK 2016.  Walaubagaimanpun, IKK 2019 dijalankan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara dan dunia. Sehubungan dengan itu, pengkaji ingin mencadangkan kepada LPPKN untuk menjalankan kajian IKK baharu memandangkan negara kini dalam tempoh peralihan ke pasca pandemik COVID-19.  LPPKN selaku agensi utama berkaitan kekeluargaan perlu menyediakan dan memberikan input, kajian dan laporan terkini menggambarkan situasi yang benar-benar sedang berlaku di dalam masyarakat dan institusi keluarga Malaysia.  Ini bagi memastikan kerajaan dan pemegang taruh serta pembuat dasar merangka dan membuat keputusan yang penting dengan tepat, betul dan relevan.  Secara kesimpulan akhirnya, isu berkaitan kekeluargaan dan kerapuhan institusi kekeluargaan termasuk kadar perceraian tinggi yang sedang berlaku di negara memerlukan perhatian dan tindakan serta kerjasama semua pihak memandangkan ianya telah menjadi isu nasional dan memberi kesan kepada kehidupan dan tahap kesejahteraan rakyat.