PENDAHULUAN
Hari Penduduk Sedunia ialah detik di mana masyarakat antarabangsa memberi perhatian terhadap perkembangan penduduk dunia dan kesannya terhadap ekonomi, pendidikan serta kelestarian sumber alam serta makanan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengunjurkan bahawa populasi penduduk dunia akan mencecah 8 Bilion orang menjelang penghujung tahun ini (2022).
Hari Penduduk Sedunia pada tahun ini telah mengangkat tema “Dunia 8 Bilion: Ke Arah Masa Depan Berdaya Tahan Memanfaatkan Peluang dan memastikan Hak dan pilihan untuk semua.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres, mengatakan bahawa tema ini ialah penyataan komitmen untuk menggembleng usaha membina ruang serta peluang untuk setiap penduduk dunia mendapatkan kualiti hidup yang baik serta bermaruah.
CABARAN KEPENDUDUKAN DI MALAYSIA
Dalam konteks Malaysia pula, Jabatan Perangkaan telah melaporkan jumlah penduduk negara ini pada tahun 2020 telah mencecah seramai 32.4 juta orang. Laporan tersebut menunjukkan bahawa pertumbuhan dalam kalangan golongan kanak-kanak serta belia semakin perlahan.
Dalam masa yang sama juga jumlah penduduk dalam lingkungan umur 65 tahun ke atas dilihat telah bertambah. Keadaan ini diunjurkan akan menjadikan Malaysia sebagai negara tua menjelang tahun 2030.
Keadaan ini akan menjejaskan sumber daya insan yang diperlukan untuk meneruskan pembinaan negara pada masa akan datang. Kelestarian sumber daya insan ini dizahirkan bentuk komposisi kanak-kanak serta generasi muda pada ketika ini.
Laporan yang sama juga menunjukkan 47.7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia terdiri daripada golongan wanita. Justeru itu, kaum wanita telah membentuk komposisi penting dalam populasi negara.
Situasi ini menjadikan wanita sebagai golongan penting yang tidak boleh lagi dikesampingkan daripada berperanan sebagai pemangkin pembinaan negara pada masa akan datang. Untuk itu ruang pemberdayaan perlu dibuka untuk wanita mengembangkan bakat serta potensi diri mereka.
Banci penduduk 2020 juga mendapati purata kepadatan penduduk di negara ini ialah 98 orang per kilometer persegi, dengan kepadatan tertinggi dicatatkan di dua buah wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur (8,157 orang per kilometer persegi) serta Putrajaya (2,215 orang per kilometer persegi).
Di samping akses serta peluang untuk membina kualiti hidup dengan lebih baik, kepadatan di kedua-dua kawasan tersebut juga menimbulkan persoalan tentang taburan penduduk di negeri-negeri lain pada masa akan datang.
Dengan unjuran penduduk dianggarkan mencecah 41.5 juta orang menjelang tahun 2030, jaminan terhadap akses sumber makanan adalah penting. Ini kerana pertambahan penduduk perlu diseimbangkan dengan peningkatan pengeluaran makanan.
Perancangan serta perlaksanaannya tidak mudah kerana terdedah kepada perubahan iklim serta alam sekitar yang menjadi faktor utama yang mempengaruhi kemampuan sektor pertanian, penternakan serta perikanan, yang merupakan sumber asas kepada industri makanan.
Untuk membina demografi yang berdaya tahan, cabaran-cabaran daripada perubahan demografi yang dikemukakan di atas perlu ditangani dengan dua langkah yang bersifat menyeluruh seperti berikut.
MENGUKUHKAN INSTITUSI KELUARGA
Pembinaan demografi yang berdaya tahan perlu dimulakan dengan mengukuhkan institusi keluarga. Pembinaan keluarga direalisasikan menerusi ikatan perkahwinan. Hubungan antara suami dan isteri akan mematangkan pemikiran dan memupuk sifat tanggungjawab sebagai ibu bapa kelak.
Mereka akan memimpin, membimbing, mendidik serta memupuk dengan nilai-nilai murni dan kepimpinan pada anak-anak. Kemudian anak-anak ini akan berperanan sebagai anggota masyarakat dengan perwatakan yang dapat berperanan sebagai pemimpin pada masa akan datang.
Kesedaran tentang peranan serta kepentingan institusi kekeluargaan amat penting untuk diterapkan dalam masyarakat. Ini kerana ia tidak seharusnya ditanggapi sebagai halangan kepada pemberdayaan wanita seperti mana dimomokkan dunia barat.
Sebaliknya institusi keluarga ialah sistem sokongan penting dalam pemberdayaan wanita. Untuk itu suami dan isteri perlu sama-sama mengimbangkan peranan dalam rumah tangga dengan peluang untuk mengembangkan potensi diri.
Justeru pendidikan kekeluargaan meliputi hubungan antara suami dan isteri, kepimpinan dalam rumah tangga, menangani konflik serta keibubapaan perlu diperluaskan untuk memenuhi matlamat ini.
MEMELIHARA ALAM SEKITAR
Alam sekitar juga ialah sumber asas untuk membina demografi yang berdaya tahan. Dalam memelihara alam sekitar, ia juga perlu diseimbangkan dengan pembangunan infrastruktur asas seperti sistem jalan raya, telekomunikasi dan premis pendidikan serta kemudahan kesihatan.Ini adalah untuk menjamin akses untuk membina kehidupan yang berkualiti kepada penduduk yang berada di luar lingkungan kawasan tumpuan khususnya seperti di Lembah Klang. Situasi ini akan dapat mengimbangkan taburan serta kepadatan penduduk.Dalam masa yang sama juga, perlu diwujudkan zon-zon khusus untuk memelihara ekosistem serta alam sekitar daripada pembangunan secara semberono. Pembentukan zon seperti ini akan juga secara langsung akan melindungi kawasan pertanian serta perikanan yang membentuk asas kepada sumber makanan negara, demi memelihara kelestarian sumber daya untuk generasi akan datang.
Rujukan:
Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Firdaus Hamsin, Awam