Demografi adalah berkait rapat dengan keadaan sosial ekonomi. Demografi berdaya tahan dilihat sebagai keupayaan penduduk untuk menentang dan pulih daripada perubahan dalam struktur demografi mereka, yang biasanya berkaitan dengan perubahan dalam saiz penduduk. Gangguan mengubah saiz dan struktur penduduk, menggantikannya daripada struktur yang stabil. Berdaya tahan dalam menangani perubahan demografi memerlukan setiap individu dalam struktur penduduk bersedia dengan perubahan dan meningkatkan keupayaan mereka untuk mengenali dan meramalkan aliran demografi dan memastikan kemahiran, sumber serta kehendak sosial diurus dengan efektif.
Cabaran utama kependudukan di Malaysia meliputi aspek kesuburan, penuaan dan tenaga buruh. Penurunan kadar kesuburan mempercepatkan proses penuaan negara. Pada suku tahun kedua tahun 2021, jumlah kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus (111,573 kelahiran), berbanding suku tahun kedua 2020 (116,688 kelahiran). Kadar pertumbuhan penduduk semula jadi akan memasuki tempoh pertumbuhan yang merosot atau penurunan secara langsung. Pada masa yang sama, bahagian tanggungan warga emas terus bertambah manakala penduduk umur bekerja berkurangan.
Mengurangkan tekanan dan bebanan bagi ibu-bapa bekerja adalah antara inisiatif untuk meningkatkan kadar kelahiran di Malaysia. Bantuan kewangan untuk keluarga yang lebih besar, penjagaan pranatal dan pengendalian kelahiran bersubsidi, dan peningkatan sumber sokongan sosial adalah antara yang boleh dilaksanakan. Inisiatif lain yang perlu adalah menangani isu kesedaran dan pengetahuan tentang pembolehubah yang memberi kesan kepada kesuburan lelaki dan wanita di peringkat individu, keluarga, komuniti dan masyarakat serta di peringkat penjagaan kesihatan primer, menengah dan tertiari. Program pendidikan yang konsisten dan mudah diakses untuk wanita dan lelaki akan memberikan mereka pengetahuan untuk mencapai tahap kesuburan yang diingini.
Negara yang mempunyai sekurang-kurangnya 60% daripada penduduk di bawah umur tiga puluh tahun secara ketara mempuyai sosioekonomi yang lebih baik. Golongan muda adalah sumber manusia yang paling berharga untuk negara. Sosioekinomi masyarakat akan bertambah baik jika nisbah penduduk dalam kumpulan umur bekerja semakin meningkat. Dari segi belanjawan, peratusan yang lebih besar daripada penduduk usia bekerja akan menghasilkan peningkatan hasil, manakala penduduk yang semakin tua akan mengakibatkan perbelanjaan yang lebih tinggi dalam sektor seperti pencen dan kesihatan dan penjagaan jangka panjang, seterusnya menjejaskan keseimbangan fiskal.
Pada tahun 2021, penduduk berumur 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 3.6 juta (11.2%) berbanding 3.5 juta (10.7%) pada 2020. Maka pada masa akan datang, firma-firma berkemungkinan menghadapi dua jenis risiko demografi iaitu risiko yang berkaitan dengan pekerja yang akan bersara dan risiko yang berkaitan dengan kakitangan yang semakin tua. Kedua-duanya menuntut penyediaan yang inovatif dan pengurusan yang berkesan. Apabila seorang pekerja bersara, firma akan kehilangan seseorang untuk melaksanakan pekerjaan serta pengetahuan dan kemahiran yang dikumpul yang dibawa oleh orang itu. Jika sebilangan besar pekerja bersara dan sukar untuk diganti, firma akan menghadapi risiko kapasiti iaitu kemungkinan pengurangan keupayaan untuk menjalankan operasi.
Bagi menangani risiko kapasiti ini, persaraan separa dilihat berpotensi untuk meningkatkan prestasi pekerjaan di kalangan warga emas dalam kesihatan yang lemah, dengan tugas penjagaan, atau dalam pekerjaan yang menuntut secara fizikal. Gabungan fleksibel kerja sambilan dan penerimaan pencen, sebelum dan selepas umur persaraan tradisional, adalah satu alternatif untuk membolehkan dan memberi ganjaran kepada lanjutan hayat kerja. Walau bagaimanapun, ia mesti dibina dengan teliti untuk mengelakkan isu pemberian subsidi kerja sambilan, yang mungkin berkurangan dan bukannya meningkatkan bekalan buruh yang berkesan bagi individu yang lebih tua
Sturuktur umur bekerja yang merosot akan memberi impak kepada tenaga kerja yang mengakibatkan peningkatan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing. Statistik menunjukkan peratusan penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) menurun daripada 69.7 peratus pada 2020 kepada 69.6 peratus pada 2021. Bagi menangani cabaran ini, negara perlu memaksimumkan produktiviti penduduk dalam umur bekerja dengan memberi fokus kepada wanita, belia berumur 15-24 tahun dan dewasa berumur 45 tahun ke atas. Menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai realiti untuk semua akan menjadi semakin penting. Menarik kemahiran dan bakat yang lebih baik dari luar negara juga akan membantu menangani isu keperluan pasaran buruh. Selain itu pemerkasaan bidang pekerjaan berasaskan kemahiran membantu dalam meminimumkan kebergantungan terhadap pasaran buruh dari luar.
Meningkatkan prospek kerja dan kualiti pekerjaan pada masa akan datang merupakan cabaran dalam perubahan demografi. Bagi memanjangkan hayat bekerja, pendekatan menyeluruh terhadap cabaran perubahan demografi seperti pencegahan kelemahan awal, memberi ganjaran kepada pekerjaan dan bersara kemudian, menggalakkan firma untuk mengekalkan dan mengambil pekerja yang lebih tua dan menggalakkan kebolehpasaran pekerja sepanjang hayat bekerja mereka perlu diperkasakan.
Rujukan:
Asmah Ahmad, and Rosniza Aznie Che Rose, (2011). Peralihan demografi dan kesejahteraan sosial masyarakat Melayu : suatu perbandingan antara Malaysia dan Kemboja. eBANGI: Jurnal Sains Sosial dan Kemanusiaan, 6 (1). pp. 115-123. ISSN 1823-884x
Capdevila, P., Stott, I., Beger, M., & Salguero-Gómez, R. (2020). Towards a ComparativeFramework of Demographic Resilience. Trends in Ecology & Evolution, 35 (9), pp 776-786.
Colantoni, A., Halbac-Cotoara-Zamfir, R., Halbac-Cotoara-Zamfir, C., Cudlin, P., Salvati, L., &Gimenez Morera, A. (2020). Demographic Resilience in Local Systems: An Empirical
Approach with Census Data. Systems, 8(3), 34. MDPI AG. Retrieved from http://dx.doi.org/10.3390/systems8030034
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2020). Evolusi Penduduk di Malaysia. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202020/DOSM
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022). Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2022. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=155&bul_id
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022). Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, 2021. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=126&bul_id
Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Lyidiawati Tusiran, Awam