Malaysia Population Research Hub

Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23)

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) yang akan berlangsung pada 21 – 22 November 2023 (Selasa dan Rabu). Objektif penganjuran persidangan ini ialah untuk mengupas dan membincangkan isu dan cabaran dinamik penduduk serta hubungkait dengan pembangunan negara. Selain itu, persidangan ini menyediakan platform bagi para akademik dan penyelidik uuntuk membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang berkaitan kependudukan dan kekeluargaan serta menghasilkan usul-usul cadangan yang boleh diketengahkan dan untuk menghasilkan satu Deraf Resolusi Persidangan berkaitan isu kependudukan dan pembangunan dalam negara melalui perbincangan khas yang melibatkan pengubal dasar, pegawai kanan Kerajaan, wakil pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), pakar dan ahli akademik.

DIANJURKAN OLEH
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

ANJURAN BERSAMA
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)
United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia
WMIT Group Sdn. Bhd.

PANGGILAN KERTAS KERJA

Para akademik, pengamal, sarjana, penyelidik, pembuat dasar, pekerja awam dan swasta serta mana-mana agensi kerajaan adalah dijemput untuk membentangkan kertas kerja (secara lisan atau poster) selain mendaftarkan diri sebagai peserta di PERKKS 22. Sila daftar dan hantarkan abstrak kertas kerja anda secara dalam talian ke http://submit.confbay.com/conf/perkks23. Semua kertas kerja yang dihantar akan disemak secara ‘blind review‘ oleh pakar kami. Pengarang abstrak yang telah diterima diminta untuk menyerahkan kertas kerja penuh yang merangkumi tajuk kertas, senarai pengarang, alamat emel, abstrak, pengenalan, metodologi, hasil dan perbincangan, kesimpulan, pengakuan dan rujukan. Manuskrip harus disediakan menggunakan Times New Roman dengan saiz fon 12. Manuskrip harus ditulis tidak lebih dari 15 halaman, ‘single spacing‘ termasuk jadual dan angka.

Sebagai memberi pendedahan kepada generasi muda akan budaya penulisan saintifik, penyertaan dari pelajar pascasiswazah adalah amat digalakkan sebagai platform untuk membentangkan projek penyelidikan masing-masing dan pelajar layak untuk mendapatkan harga istimewa bagi fi pendaftaran.

TEMA
Sejak tahun 2006, penganjuran persidangan kependudukan telah diadakan setiap tahun mengikut tema dan bidang penyelidikan yang ditentukan. Bagi penganjuran kali ini, tema yang telah dipilih untuk Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) ialah “Penduduk dan Keluarga Mampan, Membangun Malaysia MADANI”.

SKOP DAN BIDANG

i) Isu Kesuburan dan Implikasinya Terhadap Pertumbuhan dan Struktur Penduduk

Sejak 6 dekad yang lalu, Kadar kesuburan di Malaysia telah menurun dengan ketara sebanyak 75 peratus bagi tempoh 1957 hingga 2021. Daripada 6.8 orang anak bagi seorang wanita pada tahun 1957 kepada 1.7 orang anak pada tahun 2021, isu kesuburan sememangnya memberi kesan yang besar terhadap struktur penduduk seterusnya kepada pembangunan negara.

Dari segi struktur demografi, penurunan kadar kesuburan telah menyebabkan bilangan dan peratusan warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat. Ini seterusnya membawa kepada perubahan struktur umur penduduk yang akhirnya memberi kesan kepada penurunan nisbah tanggungan. Implikasi negara yang cepat menua akan mewujudkan cabaran dari segi penjagaan kesihatan dan perkhidmatan sosial di masa akan datang. Negara juga akan turut berhadapan dengan masalah penguncupan (contraction) tenaga buruh sekiranya berlaku penurunan dalam kadar kesuburan secara berterusan.

ii) Transisi Demografi, Penuaan, Migrasi dan Urbanisasi Serta Implikasinya Terhadap Kebajikan Sosial, Pasaran Buruh dan Dasar Awam

Transisi demografi yang berlaku di Malaysia ketika ini dijangka akan terus mengalami perubahan. Dari segi struktur demografi, penurunan kadar kesuburan dan pertambahan jangka hayat telah menyebabkan bilangan dan peratusan warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas semakin meningkat. Mengikut unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia, Malaysia akan menjadi sebuah negara menua pada tahun 2030 apabila 15 peratus penduduk terdiri daripada warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Migrasi merupakan satu proses demografi yang melibatkan perpindahan penduduk daripada satu kawasan kepada kawasan yang lain dan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan penduduk di Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu. Migrasi dalaman di mana penduduk berpindah dari luar bandar ke bandar secara tak langsung telah menyebabkan berlakunya proses pembangunan dan urbanisasi. Ini didorong penawaran peluang kerja serta pemilikan hartanah di samping pelbagai kemudahan awam yang komprehensif di kawasan metropolitan yang menjadi tarikan utama penduduk berhijrah ke bandar. Persekitaran politik dan ekonomi Malaysia yang agak stabil juga menjadikan Malaysia antara destinasi utama migrasi antarabangsa di Asia. Walaupun diakui menjadi faktor penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Malaysia, namun isu integrasi sosial, akses kepada perkhidmatan dan persaingan pasaran buruh kekal menjadi cabaran kepada Kerajaan.

iii) Isu Gender, Pemerkasaan Wanita dan Keluarga, Penjagaan Serta Pengabaian Kanak-kanak dan Warga Emas

Kesaksamaan gender adalah hak asasi manusia. Menyediakan akses yang sama dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan, dan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan akan menjamin pemacuan ekonomi yang mampan seterusnya memberi manfaat kepada negara dan masyarakat. Memperakui akan kepentingan peranan wanita, Malaysia sentiasa komited untuk mencapai kesaksamaan gender dan mempromosikan hak wanita dan kanak-kanak perempuan. Kerajaan terus komited dalam usaha ke arah mencapai matlamat kesaksamaan gender selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting, yang menjadi aset negara dan penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, Kerajaan sering menekankan peri pentingnya elemen keibubapaan, institusi kekeluargaan dan keprihatinan masyarakat agar sentiasa cakna dan peka terhadap keperluan kanak-kanak demi memastikan kebajikan mereka terbela.

Penuaan penduduk adalah fenomena abad ke 21. Penuaan penduduk adalah realiti yang tidak dapat dinafikan. Impaknya terhadap negara bergantung kepada sejauh mana negara bersedia untuk menghadapinya. Malaysia sebagai negara membangun akan merasai penuaan penduduk dalam masa terdekat. Kelajuan Malaysia mencapai status negara tua adalah lebih pesat berbanding negara maju. Ini adalah kerana transisi demografi kedua yang dialami berlaku dalam konteks perkembangan teknologi perubatan yang canggih. Warga emas di Malaysia akan berganda daripada 7% kepada 14% dalam masa 28 tahun sahaja berbanding negara Sweden yang telah mengambil masa selama 112 tahun untuk perubahan yang sama (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 2007). Sehubungan itu, Malaysia tidak mampu berlengah untuk menangani isu-isu berkaitan penuaan penduduk.

iv) Interaksi Penduduk dan Alam Sekitar, Kesan Pertumbuhan Penduduk Terhadap Sumber Asli, Perubahan Iklim, dan Pembangunan Mampan

Amalan kelestarian alam sekitar hari ini akan membantu memastikan keperluan penduduk masa kini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang memenuhi keperluan mereka. Dalam konteks ini, kelestarian alam sekitar adalah kadar penuaian sumber yang boleh diperbaharui, pengurangan kadar pencemaran dan pengurusan sumber semula jadi yang mampan dan melindungi biodiversiti. Ini kerana semakin meningkat populasi manusia dan peningkatan penggunaan per kapita, semakin banyak penggunaan sumber semula jadi akan dieksploitasi.

Kelestarian alam sekitar agenda penting dalam menangani perubahan iklim. Unjuran peningkatan pemanasan global sehingga 1.5 darjah celsius akan memberi kesan besar di peringkat global seperti peningkatan suhu purata global, peningkatan taburan hujan, musim kering, peningkatan aras laut, dan kehilangan biodiversiti. Malaysia turut berdepan impak perubahan iklim yang agak ketara sejak kebelakangan ini menerusi beberapa insiden yang boleh disaksikan, termasuk banjir kilat dan limpahan bah yang menjejaskan beberapa kawasan baharu. Untuk memastikan pembangunan mampan negara, Malaysia perlu mengambil kira kesan perubahan iklim dalam merancang pembangunan jangka panjang.

v) Dasar dan Program Kependudukan dan Pembangunan, Merangkumi Perancangan Keluarga, Kesihatan Reproduktif, Pendidikan, dan Strategi Pengurangan Kemiskinan

Pelbagai dasar kependudukan dan pembangunan telah diperkenalkan Kerajaan dalam memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang mampan dalam konteks kependudukan negara. Pengenalan Dasar 70 Juta Penduduk, Dasar Pembangunan Ekonomi, Dasar Sumber Manusia, Dasar Kesihatan, Dasar Pendidikan, Dasar Sosial Negara dan Dasar Pemakanan antara usaha Kerajaan mengintegrasikan faktor dinamik kependudukan di peringkat perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi.

Di bawah program Pembangunan Keluarga pula, perkhidmatan program perancang keluarga mula diperkenalkan dengan penubuhan Lembaga Perancang Keluarga Negara (LPKN) sebelum peranannya diperluaskan kepada pembangunan keluarga. Menyedari bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial adalah komponen utama dalam Hak Kesihatan Reproduktif dan Seksual, Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) 2022 – 2025 diperkenalkan agar setiap individu mencapai tahap kesihatan reproduktif dan seksual yang optimum seterusnya dapat melahirkan insan yang sihat, kuat dan resilien.

vi) Kaedah Pengumpulan, Analisis dan Penyebaran Data Untuk Penyelidikan dan Dasar Berkaitan Kependudukan

Kaedah pengumpulan, analisis dan penyebaran data penyelidikan berkaitan kependudukan sangat penting dalam memahami isu-isu dan trend yang berkaitan dengan populasi di Malaysia. Pengumpulan data yang tepat dan analisis yang teliti dapat membantu penyelidik memahami trend dan sesuatu isu dengan jelas dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Analisis penyelidikan yang cekap dan tepat pula membantu dalam menjawab soalan penyelidikan, meningkatkan kefahaman tentang fenomena, membantu dalam membuat keputusan, menilai keberkesanan program, dan meningkatkan kualiti penyelidikan.

Proses sebaran data penyelidikan dan dasar berkaitan adalah proses yang amat penting dalam menyebarkan maklumat dan pengetahuan, memperbaiki keadaan sosial, membantu dalam pembuatan dasar, meningkatkan kualiti penyelidikan, dan mendorong penyelidikan lanjutan.

LAIN-LAIN
Peluang penerbitan:
Penerbitan dalam Jurnal Berindeks
Penerbitan Buku (Chapter in Book)
Prosiding dengan e-ISSN

Sebarang pertanyaan dan urusan lanjut boleh hubungi:
Sekretariat Persidangan
Emel: sekretariat.perkks@gmail.com
Tel: +603 8928 0577
Tel Mudah-alih: +6017-732 1669

Muat turun poster: Poster pengumuman Kedua PERKKS 23