Malaysia Population Research Hub

Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22)

Menyedari akan kepentingan faktor kependudukan dan kekeluargaan di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sekali lagi akan menganjurkan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2022 (PERKKS 22) yang akan berlangsung pada 10-11 November 2022 (Khamis dan Jumaat). Selain membincangkan isu semasa dan cabaran dinamik penduduk dan keluarga, penganjuran persidangan memberi peluang kepada para penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka serta mengusulkan cadangan penambahbaikan terhadap polisi dan dasar sediada.

DIANJURKAN OLEH
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

ANJURAN BERSAMA
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)
United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia

DENGAN KERJASAMA
WMIT Group Sdn. Bhd.

PANGGILAN KERTAS KERJA

Para akademik, pengamal, sarjana, penyelidik, pembuat dasar, pekerja awam dan swasta serta mana-mana agensi kerajaan adalah dijemput untuk membentangkan kertas kerja (secara lisan atau poster) selain mendaftarkan diri sebagai peserta di PERKKS 22. Sila daftar dan hantarkan abstrak kertas kerja anda secara dalam talian ke http://submit.confbay.com/conf/perkks22. Semua kertas kerja yang dihantar akan disemak secara ‘blind review‘ oleh pakar kami. Pengarang abstrak yang telah diterima diminta untuk menyerahkan kertas kerja penuh yang merangkumi tajuk kertas, senarai pengarang, alamat emel, abstrak, pengenalan, metodologi, hasil dan perbincangan, kesimpulan, pengakuan dan rujukan. Manuskrip harus disediakan menggunakan Times New Roman dengan saiz fon 12. Manuskrip harus ditulis tidak lebih dari 15 halaman, ‘single spacing‘ termasuk jadual dan angka.

Sebagai memberi pendedahan kepada generasi muda akan budaya penulisan saintifik, penyertaan dari pelajar pascasiswazah adalah amat digalakkan sebagai platform untuk membentangkan projek penyelidikan masing-masing dan pelajar layak untuk mendapatkan harga istimewa bagi fi pendaftaran.

TEMA

Sejak tahun 2006, penganjuran persidangan kependudukan telah diadakan setiap tahun mengikut tema dan bidang penyelidikan yang ditetapkan. Bagi penganjuran kali ini, tema yang telah dipilih ialah Pemerkasaan Penduduk dan Keluarga, Teras Negara Maju.

SKOP ATAU BIDANG PERSIDANGAN

1.  Kependudukan, Pembangunan Lestari dan Pertumbuhan Ekonomi Inklusif

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menunjukkan bahawa penduduk Malaysia berjumlah 32.4 juta dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun. Dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita, Malaysia kekal di landasan menuju negara tua dimana peningkatan terus berlaku dalam kalangan penduduk warga emas berumur 60 tahun ke atas iaitu 10.4 peratus  (3.4 juta orang) pada tahun 2020 berbanding lapan peratus  (2.2 juta orang) pada tahun 2010. Negara dijangka mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara adalah berusia 60 tahun dan ke atas, berdasarkan unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam mengejar kemodenan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, matlamat pembangunan mampan menjadi panduan bagi kerajaan untuk merangka dasar dalam memastikan masa depan yang lestari merangkumi semua cabaran pembangunan termasuk ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pembangunan negara perlu diselaras secara seimbang dengan kelestarian alam sekitar, dengan cara memikirkan kepentingan perubahan iklim, degradasi alam sekitar dan penggunaan sumber alam dengan lebih bijak.

Bagi pemulihan semua sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kerajaan kini komited untuk mencapai pertumbuhan ekonomi secara inklusif melalui pelbagai pelaksanaan dasar dan program kerajaan terutama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Belanjawan 2022, dengan memastikan lebih ramai rakyat dapat mengambil bahagian dan menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi. Pertumbuhan ekonomi yang inklusif adalah penting untuk mengurangkan kemiskinan secara pesat dan mampan, dengan pertumbuhan yang menyeluruh meliputi pelbagai sektor ekonomi dan merangkumi sebahagian besar guna tenaga sesebuah negara.

2.  Kehidupan Keluarga di Era Endemik

Setelah lebih dua tahun berperang dengan COVID-19, peralihan ke fasa endemik yang pada 1 April 2022  menjadi permulaan baharu buat Keluarga Malaysia ‘membebaskan diri’ dan menjalani kehidupan norma baharu. Peralihan fasa tersebut adalah exit strategy dan merupakan petanda positif apabila kerajaan sudah bersedia memberi peluang kepada rakyat untuk ‘hidup berdikari’ bersama COVID-19, tertakluk kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang masih perlu dipatuhi.

Fasa transisi endemik meletakkan kita dalam persekitaran yang lebih mencabar. Krisis kesihatan yang berpanjangan ini telah mencetuskan ketidaktentuan ekonomi kepada institusi keluarga. Selepas dua tahun pandemik, kita memerlukan pendekatan yang berlainan untuk mengharungi normal baharu kehidupan. Inflasi yang tinggi kini menjadi masalah utama selepas pembukaan semula sektor ekonomi menjadi antara punca kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Oleh demikian, dasar dan program baharu diperlukan untuk memandu keluarga Malaysia berhadapan dengan cabaran sosioekonomi.

3.  Wanita, Kesaksamaan Gender dan Kesihatan Reproduktif

Matlamat pembangunan lestari 5 (SDG 5) menyeru semua negara mencapai kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita serta gadis menjelang 2030. Kepentingan kesaksamaan gender juga terkandung dalam beberapa matlamat seperti SDG 4, 8, 10 dan 16. Pemerkasaan wanita adalah penting bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam pembentukan masa depan dan juga pembangunan sosial serta ekonomi negara. Kerajaan melaksanakan langkah berterusan dalam memperjuangkan hak wanita dari melalui Dasar Wanita Negara dengan membangunkan potensi dan mendayaupayakan wanita dalam semua sektor dan memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan disemua peringkat. Justeru, kerajaan telah melaksanakan polisi memperkasakan wanita dalam sektor pekerjaan menerusi sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam peringkat membuat keputusan baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kesihatan reproduktif atau pengetahuan seksual, bukan sahaja merujuk kepada sesuatu penyakit atau kelemahan. Tapi ia juga membabitkan kesempurnaan fizikal, mental dan kesejahteraan sosial yang berkaitan dengan proses dan sistem reproduktif manusia yang merentasi pelbagai lapisan umur. Kesihatan reproduktif adalah satu topik yang meliputi sebahagian besar populasi tanpa mengenal usia, jantina mahupun budaya dan agama. Justeru, pentingnya untuk ambil cakna tentang kesihatan seksual reproduktif agar setiap individu mampu melindungi diri mereka dan keluarga serta mendapatkan bantuan dan rawatan sekiranya perlu.

4.  Penduduk dan Kesan Perubahan Iklim & Pemanasan Global

Perubahan iklim merujuk kepada perubahan terhadap ciri-ciri iklim seperti suhu dunia, kelembapan, jumlah hujan, angin dan peristiwa cuaca ekstrem yang berlaku untuk jangka masa panjang yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia. Pemanasan global meningkatkan suhu purata dunia melebihi 1.1 darjah celsius berbanding suhu zaman praperindustrian Eropah dan kini berada di ambang melepasi had 1.5 darjah Celsius yang dimandatkan di bawah Perjanjian Paris diratifikasi 175 negara.

Kesan negatif perubahan iklim tidak dapat dielakkan sehingga beberapa dekad akan datang dan tindakan mitigasi perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan impak fenomena tersebut. Kesan pemanasan global mengakibatkan perubahan dan gangguan terhadap kitaran iklim, habitat dan ekosistem yang berpunca daripada keadaan cuaca tidak menentu seterusnya menyaksikan bencana alam yang semakin sukar diramal. Dunia akan berdepan malapetaka dahsyat dengan cuaca ekstrem membadai di hampir semua pelusuk dunia, manakala peningkatan aras laut boleh menenggelamkan kawasan rendah pesisir pantai dan impaknya mampu membawa implikasi besar kepada tamadun manusia.

Sehubungan itu, perubahan teknologi dan gaya hidup yang lebih mesra alam perlu dilaksanakan segera bagi menggantikan teknologi sedia ada untuk mengurangkan pencemaran gas rumah hijau.  Dasar Perubahan Iklim Negara juga telah diperkenalkan dan berperanan sebagai satu rangka kerja untuk menggerak dan memberikan panduan kepada agensi kerajaan, industri, komuniti dan juga pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara menyeluruh dan bersepadu. Dasar ini menitikberatkan pengukuhan keupayaan negara agar impak perubahan iklim dapat dikurangkan di samping menggalakkan langkah mitigasi yang boleh mempertingkatkan pembangunan secara lestari, pembangunan insan, serta pemuliharaan alam sekitar demi kesejahteraan penduduk.

5.  Penduduk Muda, Potensi dan Corak Masa Depan Negara.

Penduduk muda adalah corak masa depan negara dan merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Mereka merupakan golongan yang paling aktif dalam masyarakat dan bilangan penduduk muda adalah hampir separuh daripada jumlah penduduk negara. Semestinya golongan belia merupakan kelompok yang sangat terkesan di sebalik tempoh PKP dan dalam masa yang sama memerlukan pendayaupayaan sosial pasca COVID-19.

Pada tahun ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan mengumumkan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB 2030). Bertujuan mempergiat usaha membangunkan belia secara berterusan yang sekali gus melahirkan Masyarakat 5.0. MBPB 2030 bakal memberi manfaat kepada golongan belia dalam meningkatkan taraf sosioekonomi melalui peluang dan penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa depan. Ismail Sabri berkata Masyarakat 5.0, iaitu sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal, diharap bukan semata-mata generasi pintar mengendali dunia digital tetapi bijak juga beradaptasi dengan cabaran-cabaran baharu yang lebih kompleks.

ANDUAN PENGHANTARAN KERTAS KERJA

Arahan Khusus kepada Pengarang

  1. Margin – Manuskrip mesti berada dalam jarak satu, ukuran fon 12 di Times New Roman dan semua margin: 1.5 inci (kiri) dan 1 inci (atas, kanan dan bawah).
  2. Panjang – Manuskrip maksimum 15 halaman (termasuk rujukan, lampiran, jadual dan maklumat grafik).
  3. Jadual – mesti diletakkan sebagai sebahagian daripada teks. JANGAN melampirkan jadual di akhir manuskrip.
  4. Perisian – Manuskrip mesti dihantar dalam bentuk MS Word SAHAJA.
  5. Tajuk – Ditulis dengan huruf besar, bold, saiz 14 dan berpusat.
  6. Pengarang – Nama, alamat, e-mel dan nombor hubungan semua pengarang, fon 12, Times.
  7. Abstrak – antara 250-350 perkataan “Times New Roman” bersaiz 12.
  8. Kata kunci – tidak boleh lebih daripada LIMA kata kunci.
  9. Tajuk / sub-tajuk – Ditulis dengan huruf besar, bold, saiz 12 dan margin kiri.
  10. Jadual / Angka – tajuk jadual / gambar hendaklah ditulis di bahagian atas jadual / gambar. Times New Roman, huruf 12, bold, huruf kecil, berpusat.
  11. Rujukan – Harus ada di bahagian terakhir artikel (sebelum lampiran / lampiran), mengikut urutan abjad, mengikut gaya Persatuan Psikologi Amerika (APA).

Nota: Kertas Kerja dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris sahaja yang diterima.


LAIN-LAIN
Peluang Penerbitan:
Prosiding dengan e-ISSN; dan
Kertas kerja terpilih akan diterbitkan dalam Jurnal Berindeks Scopus dan Jurnal Berindeks lain.

Sebarang pertanyaan dan urusan lanjut boleh hubungi:
Sekretariat Persidangan
Emel: sekretariat.perkks@gmail.com
Tel: +603 8928 0577
Tel Mudah-alih: +6017-732 1669 (En. Zesdyzar), +6017-213 2785 (Cik Rozie)

Muat turun poster: Pengumuman Kedua PERKKS 22