Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2011 telah mula melaksanakan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia atau lebih dikenali sebagai IKK. Tujuan utama pembangunan indeks ini adalah untuk mengukur sejauh manakah tahap kesejahteraan keluarga di negara ini seterusnya membangunkan program intervensi kekeluargaan yang bersesuaian. Tahap kesejahteraan keluarga diukur melalui penilaian ahli isi rumah iaitu ibu atau bapa terhadap aspek-aspek penting yang diambil kira dalam menentukan kedudukan kesejahteraan keluarga mereka. Sebagai contoh, ibu atau bapa dalam tempat kediaman yang terpilih akan ditanya tentang tingkah laku, sikap, kepercayaan dan pengetahuan ahli keluarga mereka berkenaan aspek hubungan kekeluargaan, ekonomi, keselamatan, kesihatan, hubungan dengan komuniti, keagamaan dan kerohanian, perumahan dan persekitaran, dan penggunaan teknologi komunikasi.
Pengukuran IKK 2011 diukur menggunakan 7 domain atau bidang utama iaitu Domain Hubungan Kekeluargaan, Domain Ekonomi Keluarga, Domain Kesihatan Keluarga, Domain Keselamatan Keluarga, Domain Keluarga dan Komuniti, Domain Keluarga dan Keagamaan/Kerohanian, dan Domain Perumahan dan Persekitaran. Pada tahun pertama perlaksanaan, skor IKK 2011 yang dicatatkan adalah 7.55 daripada skala maksimum 10. Kajian IKK 2011 telah memberi satu jajaran baru kepada penyelidikan kekeluargaan di negara ini. Di peringkat nasional, IKK telah diterima baik oleh pihak Kerajaan untuk menjadi salah satu Indikator Petunjuk Prestasi Keberhasilan Nasional dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), di bawah teras strategik memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang sama, di mana IKK disasarkan mencapai skor 8 daripada skala maksimum 10 menjelang tahun 2020.
Pada tahun 2016 pula, LPPKN telah melaksanakan siri kedua IKK bagi meneruskan pengukuran dan pemantauan terhadap tahap kesejahteraan keluarga di negara ini. Menyedari hakikat bahawa isu dan cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga sentiasa berubah seiring dengan perubahan persekitaran negara, alat pengukuran atau instrumen IKK 2016 telah ditambah baik bagi menghasilkan indeks yang lebih relevan, dengan pengenalan satu domain baru iaitu Domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi. Dan skor IKK yang dicatatkan pada tahun tersebut adalah 7.33 daripada skala maksimum 10.
Usaha pemantauan tahap kesejahteraan keluarga di negara ini diteruskan lagi pada tahun 2019. Pengukuran bagi siri yang ketiga dan yang terbaru ini telah melibatkan sejumlah 5,005 orang responden ibu atau bapa warganegara Malaysia yang mempunyai anak berumur antara 3 hingga 24 tahun. Skor indeks yang telah dicatatkan pada tahun 2019 adalah 7.72 daripada skala maksimum 10. Meskipun skor IKK kekal berada pada tahap sederhana, peningkatan skor IKK 2019 ini secara umumnya disumbangkan oleh 3 domain utama yang mencatatkan skor yang tinggi iaitu Domain Hubungan Kekeluargaan (8.35), Domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian (8.25) dan Domain Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (8.00).
Perbandingan Skor IKK 2016 & 2019
Jika dibandingkan skor keseluruhan IKK 2016 dan IKK 2019, berlaku peningkatan skor sebanyak 0.39 mata iaitu 7.72 pada tahun 2019 berbanding 7.33 pada tahun 2016. Ini disumbangkan peningkatan skor domain-domain IKK 2019 berbanding tahun 2016 kecuali Domain Keselamatan Keluarga yang mencatatkan sedikit penurunan daripada 7.96 kepada 7.86.
Perbandingan skor IKK 2019 mengikut negeri pula menunjukkan terdapat 3 buah negeri telah mencatatkan skor melebihi 8.0 iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya yang mencatatkan skor tertinggi iaitu 8.37 diikuti Terengganu (8.10) dan Negeri Sembilan (8.03). Walaupun negeri-negeri lain mencatatkan skor kurang daripada 8.0 namun masih berada di tahap sederhana. Bebanding IKK 2016, hanya negeri Melaka dan Perak yang mencatatkan penurunan skor IKK mengikut negeri pada tahun 2019.
Cabaran Keluarga
Antara penemuan lain yang terdapat dalam IKK 2019 adalah berkaitan cabaran yang dihadapi oleh keluarga. Majoriti keluarga di negara ini menyatakan masalah pengaruh luar (72.1%) adalah cabaran utama yang dihadapi keluarga mereka ketika ini. Faktor luaran ini merujuk kepada pengaruh komuniti dan teknologi terhadap sesebuah keluarga.
Cadangan Bagi Meningkatkan Tahap Kesejahteraan Keluarga
Bagi memastikan negara terus melahirkan modal insan berkualiti dan mencapai tahap kesejahteraan keluarga yang lebih baik pada masa akan datang, antara usaha dan inisiatif tambahan lain yang boleh dicadangkan untuk dilaksanakan adalah seperti:
i. Menggalakkan pelaksanaan inisiatif mesra keluarga di negara ini bagi membantu keseimbangan kerja dan keluarga. Selain itu, platform media sosial perlu dioptimumkan penggunaan agar hubungan kekeluargaan dapat dipertingkatkan sungguhpun IKK 2019 mendapati tahap hubungan kekeluargaan berada di tahap yang baik;
ii. Mempergiatkan program dan khidmat runding cara berkaitan pendidikan kewangan keluarga;
iii. Meneruskan aktiviti promosi berkaitan gaya hidup sihat terutama dalam aspek pemakanan dalam keluarga;
iv. Membina kesedaran tentang langkah-langkah keselamatan semasa berlakunya situasi krisis;
v. Memperkasakan komuniti menerusi pengukuhan institusi keluarga sebagai unit asas dalam sesebuah struktur komuniti;
vi. Meneruskan sokongan terhadap program mesra keluarga dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama;
vii. Mempromosikan program ‘waste to wealth’ sebagai motivasi kepada masyarakat setempat dalam pengurusan sisa dan bahan buangan; dan
viii. Meningkatkan kefahaman institusi keluarga mengenai bahaya dan ancaman menggunakan media sosial dan platform komunikasi terhadap privasi.