Malaysia Population Research Hub

Pusat Subfertiliti Negara pertama di Shah Alam dijangka siap 2029

PUTRAJAYA – Pusat Subfertiliti Negara yang pertama di Malaysia akan dibina bermula tahun hadapan di Shah Alam, Selangor dan dijangka siap pada 2029 dengan peruntukan sebanyak RM171 juta.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan pusat berkenaan telah diluluskan kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berperanan dan diberi tanggungjawab untuk membina termasuk menguruskannya.

 

Menurut beliau, pusat tersebut akan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan, teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran di Malaysia.

“Selain untuk (menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk), ia juga boleh menjalankan saringan seperti mamogram dan ujian Virus Papiloma Manusia (HPV),” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23), di sini hari ini.

 

PERKKS 23 turut menyediakan sesi khas perbincangan meja bulat bagi menghasilkan resolusi yang mengandungi cadangan dasar dan langkah intervensi untuk menangani isu penurunan kadar kesuburan penduduk negara yang akan digerakkan oleh KPWKM melalui LPPKN.

 

Sementara itu, menerusi ucapannya, Nancy berkata, penubuhan Pusat Subfertiliti Negara dilihat sebagai tepat pada masanya memandangkan sejak lima dekad yang lalu, kadar kesuburan penduduk negara menurun secara mendadak.

“Kadar kesuburan penduduk negara menurun dengan mendadak iaitu daripada 6.7 orang anak bagi seorang wanita pada tahun 1957 kepada 4.0 orang anak pada tahun 1980, 3.0 orang anak pada tahun 2000, 2.1 orang anak pada tahun 2010 dan terkini hanya 1.6 orang anak pada tahun 2022, kadar terendah yang pernah dicatatkan oleh negara.

 

“Penurunan kadar kesuburan ini sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk dan dijangka Malaysia akan menjadi negara tua pada tahun 2044, apabila 15 peratus daripada keseluruhan penduduknya berusia 60 tahun dan ke atas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo