Malaysia Population Research Hub

66,440 pasangan Islam daftar cerai sejak Mac 2020

KUALA LUMPUR: Sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12,479 kes, diikuti Johor (7,558), Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.

Katanya, Pahang pula merekodkan 5,058 daftar cerai, Sabah (4,010), Pulau Pinang (2,978), Wilayah Persekutuan (3,854), Negeri Sembilan (3,473), Melaka (2,402), Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak.

“Bilangan kes perceraian yang difailkan ketika tempoh pandemik dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara pula sebanyak 10,346 kes.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,893 kes dan Perak 1,209 kes,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang meminta Perdana Menteri menyatakan statistik perceraian masyarakat luar bandar ketika pandemik dan sejauh mana kerajaan berusaha menangani masalah ini.

Ismail Sabri berkata, mahkamah tidak mempunyai statistik khusus berkenaan bilangan perceraian masyarakat luar bandar ketika pandemik.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sudah mengambil inisiatif menjalankan satu tinjauan pendapat umum bagi mengetahui cabaran, tahap tekanan emosi dan kesihatan mental yang dihadapi ibu bapa, selain ingin mengetahui sebarang corak perubahan yang berlaku dalam persekitaran keluarga.

Katanya, tinjauan ini dilaksanakan secara dalam talian pada 5 sehingga 14 Mac lalu dengan pembabitan 1,148 responden terdiri daripada ibu dan bapa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mempunyai anak berumur tujuh hingga 24 tahun saja.

“Sebelum tercetusnya gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada awal tahun ini, 49.4 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka dan keluarga hampir kembali normal dan majoriti daripada mereka mulai peka, faham dan mengamalkan cara kehidupan ‘norma baharu’.

“Namun begitu, selepas tercetusnya gelombang ketiga dan pelaksanaan PKP 2.0, hampir 80.0 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka mulai terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan mental,” katanya.

Dari segi ekonomi keluarga pula, katanya hampir 28.0 peratus ibu bapa menyatakan keadaan kewangan mereka semakin teruk berbanding ketika tempoh gelombang pandemik dan pelaksanaan PKP sebelumnya.

“Ini terbukti apabila dapatan tinjauan mendapati 84.1 peratus ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda.

“Faktor utama ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres adalah disebabkan oleh pendidikan anak-anak (21.3 peratus), diikuti pembabitan aktiviti luar terhad – terpaksa berkurung (16.4 peratus) dan tempoh pelaksanaan PKP yang tidak dapat dipastikan (12.2 peratus).

“Terkesan dengan tekanan emosi atau stres, 63.0 peratus daripadanya pula menyatakan pernah mengalami kemurungan. Kesan daripada kemurungan, 20.4 peratus ibu bapa mula sukar mengawal kemarahan, diikuti dengan mereka yang sukar tidur dengan tenang (16.8 peratus) dan kerap sakit kepala atau perut (15.8 peratus),” katanya.

Katanya, majoriti 70 peratus ibu bapa turut menyatakan persetujuan mereka bagi pembukaan semula sekolah dan pusat pengajian tinggi, dengan syarat pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan, selain 96.1 peratus pula bersetuju menerima suntikan vaksinasi COVID-19 dibekalkan kerajaan bersama ahli keluarga.

Sumber : Berita Harian