Malaysia Population Research Hub

65 peratus pasangan berfikir dua kali mahu tambah anak

PUTRAJAYA: Sebanyak 65 peratus pasangan yang sudah berkahwin inginkan anak lagi jika keadaan kewangan bukan mennjadi isu penghalang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Hairil Fadzly Md. Akhir berkata, Kajian Semula Dasar Kependudukan LPPKN 2017 menunjukkan, sebanyak 78 peratus responden berkahwin yang tiada anak, inginkan anak jika kewangan bukan isu.

Katanya, sebanyak 65 peratus responden yang mempunyai seorang anak, ingin tambah anak dan 58 peratus responden mempunyai dua orang anak mempunyai keinginan sama jika faktor kewangan tidak menjadi penghalang.

“Kita lihat bahawa bagi pasangan yang mempunyai anak dan inginkan anak, mereka akan mempertimbangkan untuk mempunyai anak sekiranya keadaan ekonomi bukan menjadi isu kepada mereka.

“(Ini kerana) keadaan ekonomi boleh merangsang kepada kemampuan mereka (pasangan) untuk mempunyai lebih anak,” katanya ketika pembentangan pada Sesi Plenari: Penurunan Kadar Kesuburan: Apa Langkah Kerajaan Menanganinya? sempena Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 (PERKKS 23) di sini hari ini.

Jelasnya, penurunan kadar kesuburan jumlah (KKJ) di negara ini dipengaruhi oleh faktor ekonomi, kesihatan, sosio-budaya serta dasar-dasar yang diambil oleh kerajaan.

Beliau berkata, dari segi faktor kesihatan iaitu masalah subfertiliti, sebanyak 37 peratus daripada wanita mengalami masalah untuk hamil, namun masalah itu bukan hanya membabitkan kaum wanita sahaja.

“Kita juga kenal pasti bahawa permasalahan kesuburan juga berlaku kepada kaum lelaki, ada pasangan datang untuk dapatkan rawatan subfertiliti daripada LPPKN, pasangan lelaki bila dibuat ujian analisis sperma 60 peratus daripada ujian mereka abnormal,” ujarnya.

Seterusnya menyentuh faktor sosio-budaya, beliau berkata, trend melengahkan atau melewatkan perkahwinan telah menyebabkan tempoh untuk mempunyai anak atau ‘child bearing’ itu semakin pendek dan berlakunya penurunan kepada kadar kelahiran bayi.

“Atas sebab-sebab lain yang berkaitan dengan sosio-budaya adalah keadaan pasangan yang tinggal berjauhan, sebanyak 6.9 peratus wanita yang sudah berkahwin tinggal berjauhan daripada pasangan mereka atas faktor pekerjaan, jadi ini pun mengurangkan peluang untuk mereka merancang mendapatkan anak,” ujarnya.

Justeru, katanya, untuk memastikan kadar kesuburan dalam negara terkawal, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan antaranya memberi sokongan di tempat kerja bagi memudahkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

“Adalah penting untuk kerajaan menyediakan persekitaran yang boleh menggalakkan pasangan yang berkahwin untuk mempunyai bilangan anak yang diinginkan. Selain itu, sokongan berkenaan penjagaan anak supaya anak-anak yang telah pun diperolehi mendapat penjagaan yang sempurna.

“Manakala bagi mereka yang belum mendapat anak untuk menerima rawatan subfertiliti dan juga insentif kewangan termasuk bantuan kelahiran anak, pelepasan cukai dan bantuan wang tunai.

“Seterusnya membangunkan dasar-dasar pelengkap dari segi pendidikan yang berpatutan kepada kanak-kanak supaya ibu bapa dapat membantu untuk menyediakan peluang perkembangan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia