Sesi Research-to-Development (R2D) Badan Pendamai LPPKN telah diadakan pada 21 April 2026 di Hotel Dorsett, Putrajaya sebagai satu usaha strategik untuk mengangkat dapatan penyelidikan daripada sekadar bukti akademik kepada cadangan tindakan yang boleh memperkukuh penyampaian perkhidmatan keluarga.
Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam menghubungkan penyelidikan dengan pembangunan perkhidmatan sebenar, khususnya dalam memperkukuh institusi perkahwinan, kestabilan keluarga serta perkhidmatan sokongan berkaitan konflik rumah tangga, krisis pra-perceraian dan penyesuaian pasca perceraian di Malaysia. Sesi yang melibatkan penyelidik Geran Penyelidikan LPPKN 2025, pakar bidang, penggubal dasar serta pihak berkepentingan ini menggabungkan dapatan daripada enam kajian Geran Penyelidikan LPPKN 2025 dan menterjemahkannya kepada cadangan tindakan yang lebih konkrit, termasuk pembangunan prosedur operasi standard, modul latihan, model intervensi, mekanisme rujukan serta potensi pelaksanaan projek rintis.
Hasil Utama
1. Memperkukuh Kerangka Badan Pendamai LPPKN
Sesi R2D mengenal pasti keperluan untuk membangunkan kerangka Badan Pendamai LPPKN yang lebih jelas, tersusun dan berfungsi secara menyeluruh. Ini termasuk memperkukuh fungsi, struktur pelaksanaan, skop bidang kuasa serta laluan rujukan antara agensi. Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah pembangunan kerangka pengurusan Badan Pendamai yang lebih komprehensif, termasuk kemungkinan untuk mewartakan LPPKN sebagai badan pendamai yang diiktiraf dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara.
2. Pembangunan Prosedur Operasi Standard dan Garis Panduan
Salah satu hasil penting sesi R2D ialah cadangan pembangunan dan pemurnian prosedur operasi standard, manual serta garis panduan bertulis untuk ahli tribunal, pemohon, responden dan pihak berkuasa pelantikan.Bahan-bahan ini penting bagi memastikan proses perdamaian dilaksanakan dengan lebih konsisten, telus dan profesional. Keperluan untuk menyediakan bahan panduan dalam pelbagai bahasa turut ditekankan bagi meningkatkan kefahaman dan aksesibiliti kepada klien yang mendapatkan perkhidmatan Badan Pendamai.
3. Peningkatan Kapasiti Mediator dan Ahli Tribunal
Dapatan R2D menunjukkan bahawa walaupun ahli tribunal mempunyai sikap yang positif, kemahiran mediasi masih belum diseragamkan sepenuhnya. Sehubungan itu, pembangunan program latihan mediator yang lebih berstruktur serta modul latihan asas dicadangkan bagi memperkukuh kompetensi dalam aspek mediasi, pengurusan konflik, komunikasi dan amalan beretika. Cadangan akreditasi yang melibatkan LPPKN dan Jabatan Pendaftaran Negara turut dikenal pasti sebagai satu langkah berpotensi untuk memprofesionalkan peranan ahli tribunal dan meningkatkan kredibiliti proses perdamaian.
4. Pengenalan Saringan Pra-Tribunal dan Intervensi Awal
Sesi R2D turut mencadangkan pelaksanaan saringan pra-tribunal bagi mengenal pasti keperluan, risiko dan tahap kesediaan pasangan sebelum proses tribunal bermula. Melalui saringan ini, LPPKN dapat membezakan kes yang memerlukan maklumat asas, intervensi konflik, rujukan kaunseling atau sokongan segera. Sebagai langkah segera, penyediaan skrip penerangan standard selama tiga minit serta helaian soalan lazim dalam pelbagai bahasa turut dicadangkan bagi mengurangkan kekeliruan pasangan sebelum sesi tribunal dijalankan.
5. Pembangunan Modul Pra-Perceraian dan Intervensi Krisis
Satu lagi hasil signifikan ialah cadangan pembangunan modul berstruktur bagi kaunseling pra-perceraian dan intervensi krisis. Modul ini bertujuan membimbing kaunselor dalam membantu klien menilai sama ada mereka ingin meneruskan perceraian, memperbaiki hubungan atau mengekalkan keadaan semasa dengan sokongan lanjut. Kerangka yang dicadangkan merangkumi enam fasa utama, iaitu saringan awal, pembinaan hubungan dan penstrukturan sesi, penerokaan isu dan penilaian krisis, intervensi, sokongan, serta penyesuaian pasca perceraian.
6. Integrasi Model Terapeutik dan Daya Tahan Keluarga
Sesi R2D turut mengetengahkan potensi penggunaan Model Daya Tahan Keluarga Integratif dan Modul Kaunseling Terapeutik K.A.S.I.H sebagai pendekatan berstruktur dalam menangani konflik perkahwinan yang melibatkan campur tangan pihak ketiga. Model dan modul ini dijangka dapat menyokong amalan kaunseling yang lebih konsisten di peringkat perkhidmatan LPPKN, khususnya bagi kes yang melibatkan trauma pengkhianatan, hubungan segi tiga dan sempadan keluarga yang semakin lemah.
7. Memperkukuh Sokongan Pasca Perceraian melalui WITAJ dan Intervensi Keibubapaan Bersama
Bagi sokongan selepas perceraian, sesi R2D mencadangkan penggunaan model WITAJ sebagai pendekatan intervensi kepada individu yang telah bercerai. Pembangunan modul WITAJ serta pelaksanaan Training of Trainers kepada kaunselor LPPKN dikenal pasti sebagai langkah penting untuk memperkukuh perkhidmatan kaunseling pasca perceraian. Selain itu, penggunaan instrumen saringan kesejahteraan pasca perceraian turut dicadangkan bagi menilai keperluan klien dan merujuk mereka kepada sokongan kaunseling yang bersesuaian.
8. Mewujudkan Sistem Sokongan Pasca Perceraian yang Berpaksikan Kanak-Kanak
Hasil R2D turut memberi penekanan kepada kepentingan kesejahteraan kanak-kanak selepas perceraian. Antara cadangan yang diketengahkan termasuk pelaksanaan mediasi wajib yang disertakan dengan pendidikan keibubapaan bersama, pembangunan Panduan Keibubapaan Bersama dan penerapan prinsip penyertaan kanak-kanak dalam proses membuat keputusan keluarga. Cadangan ini menyokong pendekatan pasca perceraian yang lebih berpaksikan kanak-kanak, dengan memastikan suara, keperluan dan kebajikan anak turut diberi perhatian dalam mekanisme sokongan keluarga.
9. Ke Arah Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga
Perbincangan R2D juga membuka ruang kepada cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan dan Keluarga. Pusat ini berpotensi berperanan sebagai rujukan nasional, hab penyelidikan dan pembangunan serta pusat pengukuhan perkhidmatan berkaitan tribunal perkahwinan, kaunseling keluarga, kaunseling pra dan pasca perceraian, mediasi, kaunseling kelompok, terapi dan program keibubapaan bersama. Cadangan ini akan meletakkan LPPKN sebagai penyedia perkhidmatan intervensi keluarga yang lebih bersepadu, profesional dan berasaskan bukti.
Inisiatif R2D Badan Pendamai LPPKN berjaya menterjemahkan dapatan penyelidikan kepada agenda pembangunan yang praktikal bagi memperkukuh peranan Badan Pendamai. Hasil perbincangan ini menyediakan hala tuju yang jelas untuk menambah baik tadbir urus, memprofesionalkan amalan mediasi, menyeragamkan prosedur operasi standard, memperkenalkan saringan awal, memperluas modul kaunseling dan membina sistem sokongan yang lebih menyeluruh kepada keluarga sebelum, semasa dan selepas perceraian. Lebih penting lagi, hasil R2D ini meletakkan LPPKN bukan sahaja sebagai penyedia perkhidmatan, tetapi sebagai peneraju nasional dalam intervensi keluarga berasaskan bukti. Melalui pendekatan ini, Badan Pendamai LPPKN berpotensi berkembang sebagai mekanisme yang lebih tersusun, responsif dan bersifat pencegahan bagi menyokong kestabilan perkahwinan, mengurangkan konflik keluarga serta memperkukuh kesejahteraan kanak-kanak dan keluarga di Malaysia.



Users Today : 10
Views Today : 385
Total views : 8575