
Wanita bekerja, anak terjaga? Menelusuri isu penjagaan anak kecil dan kesannya terhadap tumbesaran generasi masa depan.
Zaman telah berubah. Semakin ramai wanita di Malaysia hari ini bukan sekadar mengurus rumah tangga, tetapi juga aktif dalam dunia pekerjaan. Kadar penyertaan wanita dalam?? tenaga buruh meningkat daripada 53.7% pada tahun 2014?? kepada 56.5% pada tahun 2023 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2024) dan disasarkan mencecah 60% menjelang 2033 selaras aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI. Penyertaan ini bukan sahaja membantu kestabilan ekonomi keluarga, malah mampu meningkatkan produktiviti negara secara keseluruhan.
Namun begitu, peningkatan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan tidak berlaku tanpa cabaran. Antara isu utama yang membelenggu ibu bekerja ialah soal penjagaan anak, terutamanya bagi anak-anak kecil berusia enam tahun dan ke bawah yang masih memerlukan perhatian rapi. Tidak semua ibu berkemampuan untuk menghantar anak ke pusat jagaan berbayar seperti taska atau mengupah pengasuh profesional. Justeru, ramai ibu bekerja memilih untuk bergantung kepada ahli keluarga, khususnya datuk dan nenek sebagai penjaga utama anak mereka.
SIAPA PENJAGA ANAK KITA?
Penemuan daripada Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada tahun 2014 menunjukkan bahawa kebanyakan keluarga sememangnya bergantung kepada bentuk penjagaan kanak-kanak secara tidak formal. Penjagaan kanak-kanak secara tidak formal boleh dibahagikan kepada dua jenis utama. Yang pertama ialah penjagaan oleh ahli keluarga, terutamanya datuk dan nenek. Jenis ini biasanya tidak melibatkan bayaran tetap, dan lebih bersifat sokongan kekeluargaan yang tidak formal.
Yang kedua pula ialah penjagaan oleh individu atau institusi tidak berdaftar, seperti pengasuh persendirian, babysitter, dan pusat jagaan harian tidak rasmi. Walaupun kedua-duanya dianggap sebagai penjagaan tidak formal kerana tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, perbezaan utama terletak pada bentuk ganjaran di mana penjagaan oleh ahli keluarga sering kali tidak dibayar secara tunai, manakala penjagaan oleh pengasuh tidak rasmi kebiasaannya menerima bayaran sebagai balasan terhadap perkhidmatan yang diberikan.??
Rajah 1: Aturan Penjagaan Anak Bawah 6 Tahun Dalam kalangan Ibu Bekerja
Datuk dan nenek merupakan sebahagian besar daripada penyedia penjagaan tidak formal dalam kalangan ahli keluarga. Walaupun secara umumnya warga emas dianggap sebagai penerima penjagaan, hakikatnya mereka juga menjadi sumber penyedia penjagaan. Seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1, hasil KPKM-5 menunjukkan satu daripada empat ibu bekerja di Malaysia bergantung kepada datuk dan nenek sebagai penjaga anak mereka, iaitu hampir dua kali ganda daripada peratusan yang menggunakan perkhidmatan taska.”?
MENGAPA DATUK NENEK MENJADI PILIHAN UTAMA DALAM PENJAGAAN ANAK”
Penjagaan kanak-kanak secara tidak formal, khususnya oleh ahli keluarga terdekat seperti datuk dan nenek, telah menjadi pilihan utama bagi banyak ibu bapa yang bekerja di Malaysia. Kajian oleh Luo et al. (2012) mendapati bahawa situasi ini didorong oleh kekurangan akses kepada alternatif penjagaan formal dan ketidakmampuan ibu bapa untuk menyediakan penjagaan sendiri, terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau yang berhadapan dengan krisis. Lebih daripada sekadar penjagaan fizikal, datuk nenek juga berperanan memberikan sokongan emosi dan kestabilan sosial kepada cucu, menjadikan peranan mereka sangat penting dalam struktur kekeluargaan moden. Dalam konteks ibu bekerja, beban kerja domestik yang tinggi sering mendorong keperluan terhadap bantuan penjagaan yang fleksibel dan boleh dipercayai.??
Khazanah Research Institute (2019) dalam laporan Time to Care: Gender Inequality, Unpaid Care Work and Time Use Survey turut menyatakan bahawa penjagaan oleh datuk nenek merupakan bentuk penjagaan yang paling meluas. Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia telah menyumbang kepada pertambahan bilangan warga emas dalam struktur keluarga, lalu mempertingkat pergantungan terhadap peranan penjagaan yang diberikan oleh datuk dan nenek. Keadaan ini menunjukkan bahawa lebih ramai warga emas yang sihat dan aktif, berpotensi untuk terlibat secara langsung dalam penjagaan cucu. Selain itu, kelebihan penjagaan oleh datuk dan nenek terletak pada kemudahan akses dan fleksibiliti masa. Tidak seperti pusat jagaan kanak-kanak yang mempunyai waktu operasi terhad dan mungkin tidak selaras dengan jadual kerja ibu bapa, terutama mereka yang bekerja secara syif atau mempunyai waktu kerja tidak tetap. Datuk dan nenek lebih bersedia menyediakan penjagaan mengikut keperluan sebenar keluarga, tanpa bayaran atau dengan ganjaran yang tidak semestinya bersifat kewangan.
KUALITI PENJAGAAN ANAK OLEH DATUK NENEK
Kualiti penjagaan anak oleh datuk dan nenek mempunyai kelebihan tersendiri, namun turut disertai cabaran yang perlu diberi perhatian, terutamanya dari segi pemakanan dan perkembangan kanak-kanak.
Kelebihan Penjagaan oleh Datuk dan Nenek
- Kasih sayang dan perhatian tinggi: Kajian tempatan dan antarabangsa menunjukkan bahawa datuk dan nenek sering memberikan perhatian emosi yang stabil dan penuh kasih sayang kepada cucu mereka.
- Fleksibiliti masa dan kesediaan: Mereka lebih mudah diakses dan bersedia menjaga cucu pada bila-bila masa, berbanding pusat jagaan yang terhad waktu.
- Sokongan intergenerasi: Kehadiran datuk dan nenek memperkukuh hubungan keluarga dan memberi rasa selamat kepada kanak-kanak.
Cabaran Kualiti Penjagaan
- Beban fizikal dan kesihatan warga emas: Kajian oleh Alavi et al. (2016) mendapati bahawa datuk dan nenek yang menjaga cucu sepenuh masa menghadapi beban fizikal, tekanan kewangan dan kesihatan mental.
- Perbezaan gaya keibubapaan: Kadangkala berlaku konflik antara ibu bapa dan datuk nenek dalam pendekatan mendidik anak, termasuk dalam aspek disiplin dan rutin harian.
Apa anak kita makan bila dijaga datuk nenek?
Bila datuk dan nenek jaga cucu, soal makan selalunya jadi tanda kasih sayang. Kadang-kadang, mereka memanjakan cucu dengan makanan manis, jajan, atau hidangan yang berlebihan bertujuan untuk menggembirakan hati si kecil. Tapi tanpa disedari, tabiat ini boleh membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan anak. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS, 2022) 21.2% kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami masalah bantut, manakala kira”kira 11.0% mengalami susut dan enam peratus mengalami masalah berlebihan berat badan.
Ramai warga emas membesar dalam zaman dan suasana yang berbeza, jadi mereka mungkin tidak begitu terdedah kepada maklumat pemakanan moden ” seperti saiz hidangan yang sesuai, keperluan makan buah dan sayur, atau kepelbagaian jenis makanan. Ini bukan salah sesiapa, tetapi ia menunjukkan pentingnya pendidikan dan sokongan kepada penjaga keluarga.
Kalau dibiarkan berterusan, anak-anak berisiko mengalami masalah kekurangan zat seperti bantut dan susut, masalah berat badan berlebihan atau terbentuknya tabiat makan yang kurang sihat sejak kecil. Oleh itu, walaupun kasih sayang datuk nenek sangat berharga, kita perlu bantu mereka dengan maklumat yang betul agar penjagaan yang diberikan bukan saja penuh kasih, tapi juga menyokong tumbesaran sihat anak-anak.
ADAKAH DATUK NENEK MASIH KEKAL MENJADI PILIHAN UTAMA DALAM PENJAGAAN ANAK?
LPPKN berhasrat untuk merungkai persoalan ini melalui penemuan KPKM-6, 2024, berikutan perubahan corak pekerjaan, gaya hidup moden, serta peningkatan pilihan penjagaan kanak-kanak formal seperti taska dan pengasuh berdaftar, trend ini mungkin berubah. Melalui KPKM-6, LPPKN akan meneliti secara menyeluruh corak penjagaan kanak-kanak yang diamalkan oleh keluarga di Malaysia, termasuk sejauh mana datuk dan nenek masih memainkan peranan utama. Hasil dapatan ini penting bagi merangka dasar dan program sokongan keluarga yang lebih relevan dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat Malaysia.
PENUTUP
Penjagaan anak oleh datuk dan nenek telah lama menjadi sebahagian penting daripada struktur sokongan keluarga di Malaysia, khususnya dalam kalangan ibu bekerja. Dalam konteks masyarakat yang menjunjung tinggi nilai kekeluargaan, peranan ini bukan sahaja menyediakan sokongan emosi dan hubungan intergenerasi yang erat, malah turut menawarkan penyelesaian praktikal terhadap isu kos penjagaan yang tinggi serta keterbatasan masa ibu bapa bekerja. Dalam banyak situasi, datuk dan nenek bukan sekadar pilihan terakhir, tetapi menjadi sandaran utama atas dasar kepercayaan, keakraban, dan keselesaan yang telah berakar umbi dalam sistem sosial kekeluargaan.
Namun begitu, pergantungan berterusan terhadap penjagaan tidak formal tanpa sokongan pengetahuan yang mencukupi menimbulkan cabaran tersendiri. Ketiadaan akses kepada pendidikan pemakanan, rangsangan perkembangan awal yang terancang, dan tahap keletihan fizikal penjaga warga emas boleh menjejaskan kualiti penjagaan serta tumbesaran anak-anak. Ini berisiko menyumbang kepada isu seperti kekurangan zat makanan, perkembangan kognitif yang terbantut dan ketidakseimbangan emosi kanak-kanak pada usia kritikal.
Sehubungan itu, aspirasi negara untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60% menjelang tahun 2033 di bawah Kerangka Ekonomi MADANI perlu digerakkan bersama dengan pelaburan yang setara dalam sistem penjagaan anak yang inklusif, selamat dan mesra keluarga. Ini termasuk memperkasakan penjaga keluarga melalui pendidikan kesihatan asas, sokongan komuniti, dan intervensi berstruktur yang menitikberatkan kesejahteraan kanak-kanak. Dengan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama kerajaan, komuniti dan keluarga, kita bukan sahaja dapat menyokong wanita untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga memastikan generasi akan datang dibesarkan dalam persekitaran yang sihat, berdaya dan penuh kasih sayang.
Tamat.
Rujukan
Alavi, K., Dagang, D., & Manap, J. (2016). Datuk Nenek Menjaga Cucu: Faktor Penyumbang dan Cabaran Penjagaan. E-Bangi: Journal of Social Sciences & Humanities, 11(1), 125″136.
Institut Kesihatan Umum (IKU) 2023: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 : Kesihatan Ibu dan Anak – Penemuan Utama
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2024). Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, Disember 2023.
Khazanah Research Institute. (2019). Time to Care: Gender Inequality, Unpaid Care Work and Time Use Survey.
LPPKN. (2016). Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) 2014.
Luo, Y., Lapierre, T. A., Hughes, M. E., & Waite, L. J. (2012). Grandparents Providing Care to Grandchildren: A Population-Based Study of Continuity and Change. Journal Family Issues, 33(9), 1143″1167. https://doi.org/10.1177/0192513X12438685.Grandparents
Penulisan Artikel Media Kerjasama Di Antara LPPKN DAN KKM -“Datuk Nenek Jaga Cucu: Berkat Atau Risiko”? : En. Adzmel Mahmud, Pn. Najihah ismail, Bahagian Penyelidikan Kependudukan Dan Keluarga (BPKK), LPPKN



Users Today : 11
Views Today : 416
Total views : 8606