
KUALA LUMPUR: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati, lima cabaran utama dihadapi setiap keluarga rakyat negara ini dalam mengharungi kehidupan harian kini.
Ia membabitkan??isu sara hidup??yang tinggi, kos membesarkan anak-anak semakin meningkat, masa aktiviti bersama keluarga semakin berkurangan, perlu melakukan dua pekerjaan demi meningkatkan ekonomi keluarga dan ketagihan penggunaan gajet.
Lima cabaran itu dikenal pasti menerusi tinjauan pendapat umum dikendalikan LPPKN secara dalam talian membabitkan 5,430 responden berusia 18 tahun ke atas dilakukan pada pada 7 hingga 30 November lalu.
Tinjauan itu dibuat sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Kasih Keluarga, Jiwa MADANI yang disambut pada November lalu.
Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga LPPKN, Adzmel Mahmud, berkata kira-kira 41.8 peratus individu dalam kelompok usia berkenaan menganggap mereka tidak meluangkan masa mencukupi bersama keluarga disebabkan komitmen tinggi terhadap keperluan mencari rezeki berikutan peningkatan kos sara hidup masa kini.
Kekangan waktu bekerja
“Purata jam mereka meluangkan masa bersama keluarga dalam sehari adalah 7.5 jam pada hari biasa, manakala pada hujung minggu sebanyak 13.4 jam. Antara punca mereka kurang bersama keluarga adalah disebabkan kekangan waktu bekerja dan perhubungan jarak jauh (PJJ).
“Malah, individu yang menyara keluarga pula terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk meningkatkan ekonomi keluarga susulan perlu menanggung kos sara yang hidup tinggi. Justeru, inilah antara menjadi cabaran utama keluarga masa kini, sekali gus mendorong ramai individu dewasa tidak mempunyai masa terluang bersama tersayang,” katanya kepada BH.
Adzmel berkata, dalam tinjauan sama, kira-kira 62.2 peratus daripada 5,430 responden terbabit mengakui masalah itu disebabkan kekangan waktu bekerja.
“Kira-kira 16.5 peratus responden mengaitkan masa tidak mencukupi itu disebabkan kekangan masa dan 8.7 peratus didorong faktor PJJ.
Beliau berkata, kekangan masa itu turut mendorong kira-kira 38.9 peratus responden mengatakan mereka terpaksa melakukan dua pekerjaan pada satu masa kerana perkara berkenaan antara lima cabaran utama yang dihadapi keluarga ketika ini.
“Selain itu, kira-kira 97 peratus responden mengakui cabaran dihadapi keluarga pada masa sekarang berkait kos hidup tinggi,” katanya.
Beliau berkata, daripada tinjauan sama, kira-kira 71.6 peratus mengatakan mereka terkesan dengan peningkatan kos membesarkan anak, diikuti 41.6 peratus menyatakan masa untuk aktiviti keluarga semakin berkurangan disebabkan tanggungan semakin mencabar.
“Faktor ketagihan penggunaan gajet juga menyumbang cabaran menguruskan keluarga dengan ia merangkumi 33.2 peratus daripada cabaran utama itu,” katanya.
Katanya, kira-kira 61.3 peratus responden menyimpulkan makan bersama keluarga setiap hari sebagai aktiviti harian bersama keluarga; diikuti berkumpul bersama (51.6 peratus) dan beriadah bersama seminggu sekali (32.1 peratus).
Dalam pada itu, katanya, tinjauan pendapat itu mendapati kira-kira 7.6 peratus responden berpendapat pasangan berkahwin wajar memutuskan untuk tidak mempunyai anak.
Sumber:Berita Harian



Users Today : 10
Views Today : 392
Total views : 8582