On this page

Bukan tak mahu kahwin dan miliki anak, tapi ekonomi jadi penghalang

745952892 1446668920828024 2710510778037364941 n

Kuala Lumpur: Sebanyak 17.6 peratus daripada 3,625 responden dalam Kajian Persepsi Awam Hari Penduduk Sedunia LPPKN 2025 mengakui gagal mencapai jumlah anak yang diinginkan akibat kekangan ekonomi, kos sara hidup dan faktor pekerjaan.

Bagaimanapun, kajian yang sama mendedahkan majoriti rakyat Malaysia sebenarnya masih berhasrat untuk membina keluarga.

Ini terbukti apabila 90.9 peratus responden bujang menyatakan hasrat untuk berkahwin, manakala 91.1 peratus lagi mahu memiliki cahaya mata pada masa hadapan.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dapatan itu sekali gus menyangkal tanggapan umum golongan muda hari ini tidak lagi berminat untuk berkahwin atau mempunyai anak.

Menurutnya, trend di Malaysia ini selari dengan kajian global Demographic Futures Survey 2026 oleh Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang membabitkan lebih 100,000 responden di 73 negara, termasuk 1,000 responden dari Malaysia.

Beliau berkata, kajian berkenaan dilakukan tahun lalu sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia di seluruh Malaysia dengan bantuan pejabat LPPKN negeri.

“Hasilnya hampir sama dengan dapatan kajian global UNFPA.

“Ini bermaksud, belia kita memang mahu berkahwin dan mempunyai anak.

“Isunya bukan mereka tidak mahu, tetapi ekosistem semasa yang menyukarkan mereka,” katanya selepas Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Pelancaran Buku Kompilasi Hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai 17.6 peratus responden yang gagal mencapai bilangan anak dihasratkan, Rohani berkata, isu ekonomi yang dibangkitkan bukan sekadar isu pendapatan peribadi.

Sebaliknya, beliau berkata, ia merangkumi peluang pekerjaan yang stabil serta tekanan kos sara hidup.

“Apabila mereka sebut mengenai ekonomi, ia berkait rapat dengan pekerjaan dan pendapatan. I

“Ini bukan isu yang boleh diselesaikan oleh satu kementerian atau LPPKN sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan.

“Kita sedang berusaha memastikan pelbagai kemudahan sokongan keluarga lebih mudah diakses supaya golongan muda lebih yakin untuk membina keluarga,” katanya.

Rohani berkata, antara kebimbangan utama yang sering disuarakan oleh golongan muda termasuklah kos majlis perkahwinan yang semakin tinggi dan beban kewangan untuk membesarkan anak.

Selain itu, katanya, kesukaran mendapatkan khidmat penjagaan anak yang boleh dipercayai ketika ibu bapa bekerja.

Bagi menangani isu kos perkahwinan, Rohani berkata, LPPKN turut melaksanakan program perkahwinan beramai-ramai bagi membantu mengurangkan beban kewangan pasangan pengantin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, komitmen LPPKN dalam memperkukuh Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) bagi membantu pasangan yang mengalami kesukaran mendapatkan zuriat.

“Dahulu, masyarakat sering menuding jari kepada isteri sekiranya pasangan tidak mendapat anak.

“Tetapi kini kesedaran sudah meningkat bahasa masalah kesuburan boleh berpunca daripada kedua-dua belah pihak (suami atau isteri).

“Kita akan merawat pihak yang dikesan mempunyai masalah terlebih dahulu sebelum mereka menjalani rawatan kesuburan.

“Sejak program ini diperkenalkan, kadar kehamilan menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Sumber: HMetro

Related Posts

Newsletter Subscribe

Subscription Form

Portal Satisfaction Survey

Portal Satisfaction Survey