Tanggapan generasi muda kurang berminat mendirikan rumah tangga dan memiliki anak tidak tepat kerana masih ramai yang menyimpan hasrat membina keluarga, namun berdepan kekangan kos sara hidup.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata dapatan UNFPA Demographic Futures Survey 2026 membuktikan golongan muda masih meletakkan institusi keluarga sebagai aspirasi utama, menunjukkan cabaran sebenar ialah mewujudkan ekosistem yang membolehkan impian berkahwin tercapai.
Beliau berkata, UNFPA Demographic Futures Survey 2026 yang membabitkan lebih 108,000 responden berusia 18 hingga 39 tahun di 73 negara mendapati 90.1 peratus golongan muda masih berhasrat untuk berkahwin, manakala kira-kira 90 peratus mahu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.
βKadang-kadang orang fikir anak muda sekarang tidak mahu berkahwin dan tidak mahu mempunyai anak. Hakikatnya mereka mahu, tetapi mereka berdepan pelbagai masalah.
βMasalahnya ialah ekosistem. Kos sara hidup tinggi, pekerjaan perlu dijaga, soal siapa yang akan menjaga anak dan pelbagai lagi cabaran menyebabkan mereka menangguhkan hasrat itu.
βCabaran lain ialah peningkatan kos majlis perkahwinan sehingga menyebabkan ada pasangan menangguhkan perkahwinan,β katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026, di sini, semalam.
Yang turut hadir Timbalan Pengerusi LPPKN, Juwairiya Zulkifli; Perwakilan United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, Dr Julitta Onabanjo dan Pengarah Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (Umcares), Prof Madya Dr CHM Noraini Ahmad.
Sumber: Pressreader


