KUALA LUMPUR, 14 Julai: Kajian menunjukkan golongan muda masih mempunyai aspirasi untuk berkahwin dan memiliki keluarga, namun berdepan kekangan seperti pekerjaan tidak stabil dan kos sara hidup.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, golongan berkenaan juga dibelenggu isu perumahan serta kebimbangan berkaitan kesihatan reproduktif.
βTinjauan awam LPPKN 2025 mendapati 90.9 peratus responden bujang berhasrat untuk berkahwin manakala 91.1 peratus mahu mempunyai anak pada masa hadapan,β katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 serta Seminar Hasil Geran Penyelidikan LPPKN 2025 yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi LPPKN dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia dan Universiti Malaya.
Sementara itu tambah Rohani, kerajaan menegaskan usaha membina keluarga yang kukuh perlu bermula daripada institusi keluarga sendiri, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat.
βIsu keluarga bukan perkara mudah kerana ia melibatkan pelbagai cabaran dinamik termasuk perubahan demografi, ekonomi serta keperluan generasi muda.
βKerajaan tidak mahu hanya menghasilkan kajian berkaitan keluarga, sebaliknya memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada dasar dan program yang memberi manfaat terus kepada masyarakat,β katanya.
Tambah Rohani, perubahan demografi global termasuk peningkatan populasi berusia, perubahan struktur keluarga dan cabaran ekonomi menyebabkan golongan muda mengambil masa lebih lama sebelum membina keluarga.
Pada masa sama, beliau memaklumkan LPPKN turut memperkenalkan program Lelaki Budiman yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan lelaki termasuk aspek emosi, komunikasi dan persediaan membina keluarga.
βPendekatan menangani isu keluarga perlu mengambil kira perbezaan keperluan lelaki dan wanita kerana setiap individu mempunyai cabaran tersendiri yang perlu didengar dan dibantu,β tambahnya.Β
Sumber: TVS


