On this page

KPKM-6: Menyingkap realiti kehidupan, membangun masa depan bersama

FI LPPKN 1KUALA LUMPUR: Tempoh pelaksanaan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 dilanjutkan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan data yang dikumpulkan lebih tepat, menyeluruh dan relevan bagi menyokong pembangunan dasar negara.

Langkah ini diambil bagi menyediakan waktu tambahan kepada pihak yang terlibat dalam pengumpulan dan analisis data seterusnya memastikan hasil kajian dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai dinamika penduduk dan keluarga di Malaysia.

Kajian yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ini telah dilancarkan oleh menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 11 Julai 2024.

Ia bertujuan mengumpulkan maklumat dan data terkini mengenai situasi kependudukan, kekeluargaan, kesihatan reproduktif serta sosio-ekonomi di Malaysia.

Kajian ini melibatkan sebanyak 37,550 kediaman terpilih di seluruh negara.Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah berkata, lanjutan tempoh ini bertujuan memberi ruang yang mencukupi kepada responden untuk bekerjasama dan menyalurkan data yang lebih tepat serta lengkap.

“Dengan penambahan tempoh ini, kami dapat memastikan pengumpulan data berjalan lancar dan menyeluruh di semua negeri, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tidak hanya tertumpu di kawasan bandar malah luar bandar.”

“Hasil kajian ini akan dijadikan asas kepada pembangunan dasar negara termasuk dasar kependudukan, kesejahteraan institusi kekeluargaan, kesihatan reproduktif serta sokongan sosial bagi seluruh rakyat Malaysia,” jelas Abdul Shukur.

Kajian ini turut bertujuan membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan bukti mengenai isu-isu penting seperti perancangan keluarga, kesihatan mental, peranan generasi muda dalam pembangunan negara dan kesihatan reproduktif.

Data yang lebih tepat ini juga akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai kehidupan keluarga di Malaysia sekali gus menyokong pembangunan dasar yang lebih bersasar.

Sepanjang tempoh kerja lapangan, penemu bual yang dilantik oleh LPPKN dan Ipsos Sdn Bhd akan melawat kediaman terpilih untuk mengumpul data melalui kaedah temu bual bersemuka menggunakan Computer Assisted Personal Interview (CAPI).

Semua maklumat yang diberikan dijamin kerahsiaannya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.Kajian ini menyasarkan lima kategori responden iaitu wanita dan lelaki yang pernah berkahwin, remaja berumur 13-24 tahun, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan penduduk bujang berumur 25-59 tahun.

Dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, data yang dikumpul akan merangkumi 14 bidang fokus termasuk demografi penduduk, perkahwinan dan perceraian, hubungan kekeluargaan, perancangan keluarga, kesihatan reproduktif, sokongan sosial, kesejahteraan mental dan banyak lagi.

Selain itu, maklumat yang dimasukkan dalam soal selidik KPKM-6 turut mengambil kira keperluan bagi pelaporan indikator dalam Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Secara ringkasnya, dapatan kajian ini mampu menyediakan statistik kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif semasa yang akan memanfaatkan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), penyelidik, ahli akademik dan orang awam.

Dengan tercapainya hasil kajian ini, negara dapat bergerak ke arah agenda meningkat kesejahteraan keluarga dan penduduk melalui pembuatan keputusan berasaskan bukti sejajar dengan keperluan dan perubahan persekitaran.

Kejayaan KPKM-6 sememangnya memerlukan kerjasama semua isi rumah yang disasarkan.

Maklumat yang diberikan mengangkat suara keluarga untuk pembangunan negara seiring dengan tema kajian ini iaitu “Suara Keluarga, Masa Depan Negara”.

Selain itu, kemas kini berkaitan kajian juga akan dipaparkan secara berkala di portal rasmi KPKM-6 di kpkm6.lppkn.gov.my.

Sumber:Berita Harian

Related Posts

Newsletter Subscribe

Subscription Form

Portal Satisfaction Survey

Portal Satisfaction Survey