Malaysia Population Research Hub

24 Peratus Ibu Bapa Periksa Kandungan Gajet Anak

KUALA LUMPUR: Hanya 24 peratus daripada ibu bapa memeriksa kandungan gajet anak mereka yang berusia tiga hingga 17 tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata keputusan itu diperoleh daripada 1,165 responden yang terdiri daripada ibu bapa yang mengikuti program sepanjang sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia pada November tahun lalu.

“Hampir 80 peratus ibu bapa didapati membenarkan anak mereka memiliki dan menggunakan gajet. Namun, hanya 15.1 peratus daripada ibu bapa akan melarang penggunaan gajet jika anak mereka melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rohani berkata, survei itu juga mendapati hanya 48 peratus ibu bapa mengehadkan masa penggunaan gajet dan 3.7 peratus pula tidak memantau penggunaan gajet anak.

Tahun lalu, kementerian itu mengambil inisiatif dengan melaksanakan kempen ‘No Gadget Hour’ bagi memastikan ibu bapa menggunakan masa dengan lebih berkualiti bersama anak berbanding mengutamakan penggunaan gajet.

Sumber: Berita Harian