Penduduk seluruh dunia mengalami beberapa perubahan demografi dalam bentuk yang pelbagai. Terdapat negara yang mengalami pertambahan penduduk secara berterusan, sebahagian dunia pula mengalami peningkatan penduduk masyarakat menua dan sebahagian lainnya pula mengalami penurunan penduduk akibat daripada kadar kelahiran yang rendah dan migrasi.
Meskipun begitu, secara umumnya, penduduk dunia semakin meningkat saban tahun walaupun berlaku penurunan kadar kesuburan sejak tahun 1950. Terkini, berdasarkan laporan The World Population Prospects 2022 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dunia dijangkakan akan mencapai angka 8 billion penduduk menjelang 15 November 2022 [1]. Manakala penduduk dunia dijangka akan terus meningkat sehingga unjuran tahun 2100, penduduk dunia bakal mencecah 10.4 bilion [2].
Penyebab utama peningkatan penduduk dunia ini disumbangkan oleh peningkatan jangkaan hayat penduduk. Trend ini adalah selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah masyarakat menua. Sebagai contoh dalam konteks Malaysia, seorang bayi yang lahir pada tahun 2021 secara puratanya dijangka hidup sehingga berusia 75 tahun. Peningkatan jangkaan hayat penduduk ini bakal menyaksikan negara akan berhadapan dengan masyarakat menua yang berusia 65 tahun ke atas sekitar 15.3% daripada keseluruhan penduduk Malaysia pada tahun 2030 [3].
Pertambahan penduduk menua adalah tidak asing bagi masyarakat global, namun fokus negara pada masa kini adalah lebih kepada kebajikan dan kesihatan warga tua. Jika dilihatkan pada amalan semasa, 16.5% daripada 15 juta mereka yang bekerja dikenakan cukai pendapatan [4]. Namun, apabila berlaku pertambahan masyarakat menua, bilangan pembayar cukai akan berkurang dan akan mengakibatkan perkhidmatan percuma yang dinikmati pada hari ini seperti pendidikan, fasiliti kesihatan tidak dapat diberikan secara percuma lagi. Malah projek-projek perumahan kos rendah juga tidak dapat ditawarkan oleh negara kepada rakyat. Peningkatan masyarakat menua ini juga akan memberikan kesan kepada bilangan dan tanggungan untuk umur bekerja pada masa hadapan. Oleh itu, persediaan fasiliti kesihatan dan jaminan caruman persaraan perlu diperkasakan.
Isu caruman persaraan yang merosot bagi masyarakat menua ini agak membimbangkan terutama apabila dunia dilanda pandemik COVID-19. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 70% pencarum menggunakan semua simpanan mereka dalam 10 tahun persaraan bagi meneruskan kelangsungan hidup [4]. Selain itu 70% pencarum juga, mempunyai caruman kurang daripada RM1000 dalam akaun mereka selepas beberapa inisiatif pengeluaran diperkenalkan semasa pandemik melanda Malaysia seperti i-Sinar dan i-Citra bagi meneruskan kelangsungan hidup yang mana rata-rata mereka terkesan akibat kehilangan pekerjaan atau kekurangan pendapatan [5]. Ini merupakan satu gambaran yang membimbangkan pada masa hadapan kerana kumpulan masyarakat menua ini dijangka akan menghadapi masalah kewangan dan menjadi golongan pesara yang miskin.
Selain itu, perubahan demografi penduduk Malaysia juga bakal menyaksikan peningkatan bilangan penduduk di kawasan bandar sehingga 80% menjelang tahun 2030 [6]. Seiring dengan peningkatan tersebut, negara perlu bersedia menghadapi beberapa cabaran utama antaranya berkaitan pengurusan sisa buangan. Hari ini, sisa buangan rakyat Malaysia secara harian direkodkan sekitar 37,890 tan setiap hari dan secara puratanya setiap individu menghasilkan sekurang-kurangnya 1.17 kilogram [7]. Peningkatan penduduk di negara kita akan menyebabkan peningkatan sisa buangan bertambah berkali ganda berbanding hari ini dan seterusnya akan menyebabkan keperluan kepada tapak pelupusan sampah yang lebih banyak di seluruh negara. Selain itu, masalah ketepuan tempat pembuangan sampah juga mungkin akan berlaku. Oleh demikian, wajar untuk kita mula mengamalkan langkah penyisihan sisa buangan secara beretika dan mengamalkan guna dan kitar semula sebagai satu kelaziman.
Seiring dengan pertambahan penduduk di kawasan bandar juga akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang kritikal berikutan peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya. Jika selama ini kesesakan jalan raya yang teruk akan berlaku apabila waktu puncak dan musim perayaan, namun pada masa akan datang kesesakan tersebut mungkin akan berlaku setiap masa. Malah, peningkatan karbon monoksida yang dibebaskan dari kenderaan juga akan meningkatkan indeks pencemaran udara di Malaysia. Antara langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam mengelak perkara seperti ini terjadi adalah dengan menambah baik sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan paling penting mesra golongan warga emas selaras dengan peningkatan masyarakat menua di Malaysia. Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan fasiliti yang mesra warga emas seperti laluan pejalan kaki bebas halangan, lebih kesat dan lebar bagi memudahkan pengguna berkerusi roda [8].
Pertambahan penduduk di Malaysia juga akan menyebabkan lebih banyak penyahhutanan berlaku kerana terdapat keperluan untuk menyediakan perumahan bagi menampung kapasiti manusia yang semakin bertambah [9]. Keadaan ini akan menyebabkan kemusnahan habitat flora dan fauna, pencemaran sumber air mentah, bencana alam malahan kehilangan lokaliti asal bagi masyarakat Orang Asli akibat kerakusan manusia.
Justeru, peningkatan penduduk merupakan faktor utama kepada peningkatan guna tanah malahan turut wujud permintaan lain seperti bekalan air, sumber makanan, tenaga elektrik, barangan keperluan dan teknologi komunikasi yang dapat membantu kelangsungan hidup seharian. Oleh itu, Malaysia perlu memperkasakan kesemua sumber asas bahan seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, batuan dan petroleum. Menjadi tanggungjawab penting bagi generasi hari ini melestarikan sumber semulajadi yang boleh diperbaharui dan mula menjana sumber-sumber alternatif sebagai salah satu pilihan yang dapat digunakan pada masa hadapan.
Kesimpulannya, kerajaan perlu bersiap siaga memastikan peningkatan populasi penduduk bukanlah satu tragedi yang dikesali kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Negara perlu merangka pelan dan strategi yang dapat membantu Malaysia menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Pembangunan perlu direka bentuk dengan mengambil kira kesan sosial, ekonomi, alam sekitar dan habitat berdaya tahan untuk penduduk sedia ada, tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang secara umum dan warga emas secara khususnya.
Rujukan:
[1] United Nations Department of Economic and Social Affairs, Population Division (2022). World Population Prospects 2022: Summary of Results. UN DESA/POP/2022/TR/NO. 3.
[2] Miller, J. R. (2022, July 12). UN projects global population will peak at 10.4 billion. New York Post. Retrieved July 30, 2022, from https://nypost.com/2022/07/12/un-projects-global-population-will-peak-at-10-4-billion/
[3] Jabatan Perangkaan Malaysia. (2022, July). Kenyataan Media Sempena Hari Penduduk Sedunia 2022. Ke Arah Penduduk Malaysia Berdaya Tahan, Memanfaatkan Peluang dan Memastikan Hak serta Pilihan untuk Semua. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/07.%20JULAI/HARI%20PENDUDUK%20SEDUNIA%2C%2011%20JULAI%202022.pdf
[4] Kew, T. Y. (2022, February 22). Kenapa kita perlukan strategi dan pelan populasi menua. Malaysiakini. Retrieved July 29, 2022, from https://www.malaysiakini.com/news/611691
[5] Reporter, S. D. (2021, May 12). Hampir 2.6 juta pencarum KWSP miliki kurang RM1,000 dalam akaun 1. Sinar Harian. Retrieved July 28, 2022, from https://www.sinarharian.com.my/article/138340/berita/nasional/hampir-26-juta-pencarum-kwsp-miliki-kurang-rm1000-dalam-akaun-1
[6] Astro Awani. (2020, September 28). Penduduk urban dijangka meningkat kepada 80 peratus menjelang 2030 – Muhyiddin. astroawani.com. Retrieved July 29, 2022, from https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penduduk-urban-dijangka-meningkat-kepada-80-peratus-menjelang-2030-muhyiddin-261240
[7] Suhaila Shahrul Annuar. (2019, June 16). Rakyat Malaysia hasil 37,890 tan sisa setiap hari. Berita Harian. Retrieved July 28, 2022, from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/574909/rakyat-malaysia-hasil-37890-tan-sisa-setiap-hari
[8] Berita Harian. (2021, January 29). Menuju Negara Tua, Malaysia Perlu Lebih Banyak perbandaran Mesra Warga Emas. Berita Harian. Retrieved July 31, 2022, from https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/01/781096/menuju-negara-tua-malaysia-perlu-lebih-banyak-perbandaran-mesra
[9] Hafizudin Nasarudin. (2021, March 6). Antara Pembangunan & Alam Sekitar, Yang Mana Lebih Utama? Centre For Quality Assurance (CQA) UPM. Retrieved July 29, 2022, from https://cqa.upm.edu.my/article/antara_pembangunan_alam_sekitar_yang_mana_lebih_utama-39869
Pemenang Pertandingan Penulisan Esei Kependudukan Bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2022: Azar Fatiha Mohd Lud & Norhayati Mohd Amin, Universiti Selangor (UNISEL)